PETALING JAYA: Bursa Malaysia menyusut dan ditutup di bawah 1,400 mata pada sesi dagangan hari ini, dipercayai disebabkan sentimen pasaran Amerika Syarikat yang bercampur-campur.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 8.02 mata kepada 1,396.91 mata berbanding 1,404.93 pada penutupan semalam.
Sementara itu, mata wang negara juga ditutup rendah pada pukul 5 petang pada 4.605/4.610 berbanding AS 4.603/4.610 pada penutupan Isnin.
Ringgit turut menyusut berbanding mata wang utama lain iaitu pound sterling pada 5.699/5.705 daripada 5.682/5.692 dan yen pada 3.285/3.289 daripada 3.279/3.285 pada penutupan kelmarin.
Bagaimanapun, ringgit sedikit mengukuh berbanding euro pada 4.929/4.935 daripada 4.936/4.944, dan dolar Singapura pada 3.402/3.406 daripada 3.402/3.407 pada penutupan Isnin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sentimen pasaran yang bercampur-campur di pasaran AS dipercayai mempengarahui pasaran saham tempatan.
Katanya, iai berkemungkinan berlaku disebabkan perbelanjaan rakyat negara itu masih lagi tinggi dari yang sepatutnya, walaupun kongress AS telah menaikkan had siling hutang.
“Ini menyebabkan kadar inflasi di AS kekal tinggi dan ada kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) untuk meningkatkan lagi kadar faedah.
“Kadar faedah naik tapi mereka masih lagi berbelanja. Oleh itu, berlaku kurang keyakinan dalam pasaran kerana sentimen bercampur-campur,” katanya.
Beliau percaya, penyusutan pasaran saham tempatan di bawah 1,400 mungkin akan berlarutan sepanjang minggu ini.
Mengulas mengenai ringgit, Ahmed Razman berkata, ringgit yang lebih lemah disebabkan oleh faktor luaran melibatkan sentimen.
“Sepatutnya, ringgit sudah boleh mengukuh kerana eksport negara meningkat. Sukar untuk meramalkan kedudukan ringgit ketika ini kerana ia bergantung pada faktor luaran ini,” ujarnya. – UTUSAN










