PETALING JAYA: Bosch Malaysia merekodkan jualan berjumlah RM727 juta (157 juta euro) tahun lalu, pertumbuhan sebanyak 25 peratus dari tahun kewangan 2021.
Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Klaus Landhaeusser berkata, walaupun 2022 merupakan tahun yang mencabar, syarikat berjaya merekodkan pertumbuhan yang sihat dalam pasaran Malaysia.
Beliau berkata, syarikat menggaji kira-kira 4,200 kakitangan dengan pelaburan hampir RM400 juta (86.2 juta euro) di negara ini, setakat 31 Disember 2022.
Syarikat itu turut memenangi beberapa anugerah termasuk Putra Brand Awards bagi kategori ‘Produk dan Kedai Pembaikan Rumah” untuk tahun kedua berturut-turut.
“Anugerah ini adalah bukti syarikat komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kualiti, inovasi dan kepuasan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pada tahun ini, Bosch Malaysia akan kekal melabur dalam pasaran tempatan walaupun keadaan geopolitik dan ekonomi global yang berterusan mencabar.
“Kami melihat cabaran ini sebagai peluang untuk bangkit sebagai jenama yang berdaya tahan. Melalui pelaburan berterusan dalam kakitangan dan jenama, kami teruskan langkah di negara ini.
“Dalam kami bersiap untuk membuka kemudahan semikonduktor baharu di Pulau Pinang pada Ogos dan meraikan ulang tahun ke-100 di Malaysia pada November, kami bersedia untuk membuat impak yang lebih hebat,” kata Landhaeusser.
Di peringkat global, Bosch Group merekodkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) berjumlah 3.8 bilion euro (RM18.66 bilion) tahun lalu, lebih tinggi daripada 3.2 bilion euro (RM15.71 bilion) yang direkodkan tahun sebelumnya.
Pembekal teknologi dan perkhidmatan global itu berkata, Kumpulan merekodkan peningkatan jualan sebanyak 12 peratus kepada 88.2 bilion euro (RM433.04 bilion) daripada 78.7 bilion euro (RM386.4 bilion) pada 2021 dengan semua rantau merekodkan pertumbuhan.
“Bosch Malaysia merekodkan pertumbuhan yang sihat pada 2022 dan terus mengukuhkan komitmennya di negara ini pada 2023,” jelasnya.
Untuk tahun ini, Kumpulan mengunjurkan pertumbuhan jualan sebanyak 6 hingga 9 peratus. Setakat 31 Disember 2022, Bosch menggaji sejumlah 421,388 pekerja di seluruh dunia, pertambahan 18,724 orang berbanding tahun sebelumnya.
Bosch telah beroperasi di Malaysia sejak 1923, diwakili oleh Robert Bosch Sdn. Bhd., dengan pejabat terletak di Selangor dan Pulau Pinang.
Di Malaysia, Bosch aktif dalam bidang penyelesaian mobiliti, teknologi perindustrian, barangan pengguna dan teknologi tenaga dan bangunan. Syarikat mempunyai tiga cabang pembuatan di Pulau Pinang yang menyediakan sistem multimedia kenderaan, alatan kuasa dan stereng automotif.- UTUSAN









