BHIC terima dua kontrak kerajaan bernilai RM140.06 juta

BHIC terima dua kontrak kerajaan bernilai RM140.06 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Boustead Hea­vy Industries Corp. Bhd. (BHIC) memperoleh dua kontrak de­ngan nilai keseluruhan sebanyak RM140.06 juta daripada Kementerian Pertahanan (Mindef).

Menurut pemfailannya di Bursa Malaysia, BHIC berkata, anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn. Bhd. (BSES) telah dianugerahkan kontrak bernilai RM99.8 juta.

Katanya, kontrak tersebut untuk perkhidmatan sokongan sementara bagi kapal selam Kelas Perdana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk tempoh 11 bulan, dari 15 Mac tahun ini hingga 14 Februari 2024.

Sementara itu, dalam pemfailan berbeza, BSES mengumumkan telah dianugerahkan lanjutan kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam TLDM bernilai RM40.26 juta.

“Kontrak tersebut adalah selama 12 bulan, dari 1 Januari hingga akhir Disember tahun ini,” katanya dalam pemfailan tersebut.

Pada April 2021, Kumpulan itu memperoleh kontrak penyelenggaraan kemudahan kapal selam bernilai RM78.14 juta untuk tempoh dua tahun dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022.

BHIC berkata, kontrak rasmi terkini antara kerajaan dan BSES akan dilaksanakan kemudian.

Tambahnya, kedua-dua kontrak akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

BHIC mencatatkan kerugian bersih RM21.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding keuntungan bersih RM15.19 juta setahun sebelumnya, disebabkan oleh elaun yang lebih tinggi untuk jangkaan kerugian kredit, kos kewangan dan perbelanjaan operasi .

Dalam pada itu, hasil bagi tahun yang sama juga menurun kepada RM141.76 juta daripada RM149.19 juta pada 2021 berikutan kontrak kapal selam dan projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan pertahanan lain yang lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×