BANGI: Citaglobal Genetec BESS Sdn. Bhd. berhasrat mengetengahkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) keluarannya sebagai penyelesaian pilihan untuk mendukung keperluan perniagaan ke arah kelestarian.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Genetec Technology Berhad (Genetec), Chin Kem Weng berkata, di peringkat tempatan, Malaysia disokong baik dengan pelbagai dasar, kerangka, komitmen bajet dan insentif bagi menggalakkan penerimagunaan penyelesaian tenaga bersih.
Kataya, perkara itu memudahkan peralihan daripada bekalan tenaga yang berasaskan fosil.
“Sedang pelbagai negara dan syarikat melebarkan langkah mereka ke arah kelestarian, kami ingin mengetengahkan MYBESS sebagai solusi pilihan bagi mendukung keperluan perniagaan dan negara-negara tersebut.
“Terdapat banyak peluang yang terbentang di hadapan kita, dan kami teruja untuk merebut peluang-peluang ini,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Citaglobal Genetec BESS di Kilang Genetec EPIC di Bandar Baru Bangi di sini, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dan menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tersebut.
Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Citaglobal Genetec BESS, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria.
Citaglobal Genetec BESS merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan oleh Citaglobal Berhad dan Genetec untuk membangun dan membekalkan penyelesaian komprehensif bagi kegunaan komersial dan perindustrian dalam usaha mendukung keperluan dan aspirasi tenaga boleh baharu di Malaysia. – UTUSAN











