PETALING JAYA: Institusi kewangan dalam negara akan menaikkan kadar pinjaman sebanyak 25 mata asas, selaras dengan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin.
Maybank dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan melaras naik Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Aas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 8 Mei ini, berikutan kenaikan OPR.
Jelasnya, SBR dan BR Maybank akan dinaikkan daripada 2.75 peratus pertahun (p.a.) kepada 3.00 peratus, manakala BLR akan dilaras daripada 6.40 peratus kepada 6.65 peratus.
“Begitu juga, Kadar Asas Standard Islam dan Kadar Asas Islam akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus p.a. kepada 3.00 peratus masing-masing, manakala Kadar Pembiayaan Asas Islamik akan dinaikkan daripada 6.40 peratus p.a kepada 6.65 peratus.
“Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 8 Mei 2023.
“Semakan terakhir dalam Kadar Asas Maybank adalah pada 7 November 2022 apabila ia dinaikkan daripada 2.50 peratus p.a. kepada 2.75 peratus p.a. berikutan kenaikan OPR dengan kuantum yang sama,” katanya.
Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLIB) turut mengumumkan kenaikan SBR kepada 3.00 peratus, manakala BR dan Kadar Asas Islam (IBR) kepada 3.88 peratus daripada 3.65 peratus.
“Begitu juga pinjaman dan pembiayaan berdasarkan BLR dan Kadar Pembiayaan Islamik (IFR) akan disemak kepada 6.89 peratus daripada 6.64 peratus. Perubahan ini berkuat kuasa pada 9 Mei 2023,” katanya.
Turut mengumumkan kenaikan kadar faedah ialah RHB Banking Group yang memaklumkan akan menaikkan SBR, BR dan BLR/BFR sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 8 Mei ini, selaras dengan kenaikan OPR oleh BNM.
Menurut RHB, RHB Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad akan menaikkan SBR daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus, manakala BR daripada 3.5 peratus kepada 3.75 peratus.
Turut dinaikkan ialah BLR dan BFR daripada 6.45 peratus kepada 6.70 peratus.
“Selaras dengan semakan itu, kadar simpanan tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank juga akan disemak naik,” katanya.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus. – UTUSAN










