PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) meningkat 15.5 peratus kepada RM1.735 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
AmBank Group dalam satu kenyataan berkata, jumlah pendapatannya turut meningkat 1.6 peratus kepada RM4.737 bilion disokong peningkatan 8.1 peratus dalam pendapatan faedah bersih (NII) berikutan pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh dan meluas sebanyak 8.5 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir, berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sihat sebanyak 8.7 peratus pada 2022 menunjukkan ekonomi Malaysia sedang melantun kukuh.
Katanya, pemulihan itu didorong peningkatan dalam penggunaan swasta, pasaran buruh yang diperbaharui, permintaan luar yang lebih tinggi daripada rakan dagangan utama AmBank, dan kemasukan pelaburan asing yang stabil.
“Tahun kewangan 2023 kami ditutup tinggi, ditunjukkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) yang kukuh dengan digariskan oleh sumbangan penting daripada majoriti bahagian perniagaan utama kami.
“Yang penting, kami telah mencapai dan melepasi matlamat cita-cita tinggi yang kami tetapkan pada awal tahun ini, termasuk mencapai pulangan ekuiti (ROE) sebanyak 10 peratus, mengukuhkan lembaran imbangan dan membayar nisbah pembayaran dividen yang lebih baik untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham kami yang dihargai,” katanya.
Mengulas mengenai tinjaun tahun kewangan 2024, Sulaiman berkata, AmBank kekal optimistik meskipun menyedari potensi cabaran luaran seperti ke ketidaktentuan dalam trajektori pertumbuhan global dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Katanya, permintaan domestik yang kukuh, peningkatan semula pasaran buruh, pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun yang mantap, dan jangkaan peningkatan dalam aktiviti pelancongan yang dialami pada tahun kewangan 2023 akan terus menyokong kumpulan pada tahun kewangan 2023, meskipun berpotensi pada kadar yang lebih terukur.
“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa kami telah mencapai kemajuan yang besar dari segi mengukuhkan ROE kami, mempertajam strategi segmen sasaran kami, memupuk pendapatan modal kami dan mempertimbangkan ESG dalam operasi kami.
“Menuju ke depan, matlamat utama kumpulan akan terus memaksimumkan nilai untuk pemegang taruh dan pemegang saham menerusi penyampaian keputusan kewangan yang teguh, pengukuhan berterusan rizab modal, penilaian tetap terhadap aset bukan teras dan pengurusan kos,” katanya. – UTUSAN










