91% responden sedia bertukar majikan jika ditawar gaji lebih tinggi

91 peratus responden sedia bertukar majikan jika ditawar gaji lebih tinggi

Pencari kerja mengintai peluang pekerjaan pada Pameran Kerjaya Talentbank di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid . - MINGGUAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat di negara ini merasakan gaji yang diterima tidak setimpal selain mampu menerima lebih 20 peratus kenaikan gaji sekiranya mereka bertukar majikan.

Ia dilihat berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Randstand Malaysia terhadap 302 responden apabila daripada 30 peratus responden yang bertukar majikan dalam tempoh 12 bulan lalu, sebanyak 49 peratus daripadanya berjaya merundingkan kenaikan gaji sebanyak 20 peratus.

Pengarah Negara di Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, apabila permintaan global dan domestik meningkat, syarikat perlu mengembangkan dan mengekalkan tenaga kerja mereka untuk terus menyampaikan produk dan perkhidmatan.

Ujarnya, antara cara yang telah dicuba dan diuji untuk berjaya mengembangkan tenaga kerja anda adalah dengan menawarkan pakej gaji yang menarik dan kompetitif.

“Apabila ditanya mengenai jumlah kenaikan gaji yang diterima responden daripada majikan mereka dalam tempoh tiga bulan lalu, 49 peratus pekerja Malaysia hanya menerima sehingga lima peratus daripada kenaikan gaji.

“Sebanyak 91 peratus responden di Malaysia akan bertukar majikan jika mereka ditawarkan gaji yang lebih tinggi kerana gaji adalah pendorong kuat kepada ramai rakyat Malaysia,” katanya menerusi laporan Jangkaan Gaji dan Bonus di Malaysia.

Beliau berkata, menerima kenaikan gaji yang lebih tinggi setiap kali mereka bertukar majikan bermakna bakat dapat memadankan kuasa pendapatan dengan rakan sebaya antarabangsa mereka.

“Ia juga boleh membantu mereka mencapai matlamat kewangan mereka, seperti membeli kereta atau rumah. Syarikat yang tidak menyokong matlamat pekerja mungkin berisiko kehilangan bakat terbaik seterusnya memberi kesan buruk kepada operasi dan hasil keseluruhan mereka,” katanya.

Selain itu, daripada rakyat Malaysia yang dikaji, sebanyak 39 peratus daripada mereka dimaklumkan yanggaji mereka tidak akan diselaraskan pada 2023.

Sebanyak 31 peratus daripada mereka dimaklumkan oleh majikan bahawa mereka tidak akan menerima sebarang bonus untuk caruman kerja pada 2022.

Naeem berkata, inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi telah mengubah cara orang ramai memilih untuk membelanjakan wang mereka.

“ Adalah wajar dan munasabah bahawa pekerja mencari gaji yang lebih tinggi dan bonus yang adil untuk berasa diiktiraf untuk kerja mereka dan dihargai sebagai pekerja.

“Untuk menarik bakat terbaik dan memenuhi jangkaan gaji pekerja mereka, syarikat mesti berusaha menyemak dan menyesuaikan struktur gaji dan bonus dalaman mereka untuk mencerminkan permintaan kemahiran baharu dan jangkaan bakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN