KUALA LUMPUR: Pusat Rel Asia Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memeterai kerjasama dengan Institution of Signal Engineers (IRSE), United Kingdom bagi menawarkan kursus peringkat diploma lanjutan dan sijil kompetensi.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang juga Pro Canselor UniKL, Datuk Dr. Asyraf Wajdi berkata, kerjasama itu membolehkan program yang ditawar menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menurut Asyraf, pengiktirafan yang diberikan itu bakal menarik minat bukan sahaja pelajar tempatan malah antarabangsa untuk mengikuti program yang ditawarkan di Pusat Rel Asia UniKL.
“MoU yang ditandatangani di antara UniKL dengan IRSE ini penting kerana mereka mengiktiraf program yang ditawarkan dan sekaligus menjadikan UniKL sebagai satu-satunya universiti di Asia yang menerima pengiktirafan ini.
“Kita bukan sahaja dapat melihat pelajar dalam Malaysia mendapat latihan dan ilmu dalam bidang industri kereta api ini tetapi juga hendak menawarkan kepada pelajar luar negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU di antara UniKL dan IRSE di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay yang bersama Asyraf menyaksikan Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah binti Omar dan Presiden IRSE Andy Knight menandatangani MoU tersebut.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, bagi menjaga kualiti dan kebolehpasaran graduan yang mengikuti program berkenaan, UniKL hanya akan mengambil maksimum 40 pelajar setiap semester iaitu bersamaan 120 orang setahun.
“Kita tidak boleh lakukan pengambilan program ini secara besar-besaran kerana ia amat istimewa memandangkan kebolehpasaran graduan adalah 100 peratus dan mereka akan terus memperoleh pekerjaan selepas tamat.
“Paling penting, kita bukan hanya memberi tumpuan kepada soal pengajaran tetapi juga penyelidikan kerana kita mempunyai segala kemudahan yang disumbang oleh industri sendiri,” katanya.
Sementara itu, UniKL dalam kenyataan memaklumkan melalui kerjasama itu, Pusat Rel Asia UniKL telah dilantik sebagai pusat untuk menawarkan program pembangunan profesional dalam bidang sistem kawalan isyarat yang diperakui oleh IRSE.
IRSE juga telah bersetuju melantik UniKL sebagai Agensi Penilai bagi jurutera kawalan isyarat dan profesional yang akan dinilai oleh IRSE Malaysian Section, Pusat Rel Asia UniKL dan badan pelesenan UK untuk mendapatkan pensijilan yang akan diiktiraf di seluruh dunia.
Katanya, apabila tamat kelak, graduan program itu akan memperoleh dua sijil iaitu Diploma Teknologi Kejuruteraan Sistem Rel dan Sijil Kompetensi IRSE Modul A – Certificate in Railway Control Engineering Fundamentals. – UTUSAN











