TNB saran langkah keselamatan dan penjimatan sebelum meninggalkan kediaman - Utusan Malaysia

TNB saran langkah keselamatan dan penjimatan sebelum meninggalkan kediaman

PENGGUNA dinasihatkan supaya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB) di kediaman masing-masing, bagi mengesan jika ada sebarang kejanggalan. Sebenarnya, ini adalah satu amalan yang sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna agar mengambil langkah-langkah keselamatan dan penjimatan sebelum meninggalkan kediaman masing-masing untuk bercuti atau pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri.

Syarikat utiliti itu dalam kenyataannya berkata, terdapat beberapa panduan yang boleh diamalkan demi memastikan keselamatan premis dan bijak tenaga.

Katanya, ini sekali gus dapat menyumbang kepada usaha mengurangkan jejak karbon dan juga sejajar dengan strategi kelestarian dan komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Langkah-langkah berkenaan adalah menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan palamnya ditanggalkan bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir. Peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor bergerak lancar.

“Pastikan, semua soket berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai berlebihan. Sekiranya perlu menyalakan lampu kediaman yang ditinggalkan, pertimbangkan penggunaan alat pengukur masa supaya lampu tidak menyala 24 jam setiap hari.

“Selain itu, buka gulungan wayar sambungan tambahan sepenuhnya bagi mengelakkan ia daripada menjadi terlalu panas sepanjang penggunaannya,” katanya.

TNB berkata, pengguna juga dinasihatkan supaya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) di kediaman masing-masing bagi mengesan jika ada sebarang kejanggalan.

Jelasnya, ini adalah satu amalan yang sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali dan maklumat lanjut untuk mengetahui cara-cara menguji PLAB boleh diakses di laman web www.tnb.com.my atau Facebook TNB Careline.

“Pengguna boleh menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Kepada pelanggan yang menyambut Aidilfitri, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin dan berhati-hati di jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN