KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) menandatangani Perjanjian Bekalan untuk Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama AEON CO. (M) Bhd. (AEON) bagi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di pusat beli-belah berkenaan.
Melalui kerjasama itu, GSPARX akan memasang, mengendali dan menyelenggara kemudahan solar di seluruh pusat beli-belah AEON dan pasar raya besar AEON BiG di seluruh negara dengan saiz sistem kira-kira 77,000 kilowatt puncak (kWp) untuk tempoh 25 tahun.
Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, inisiatif yang dilaksanakan bersama AEON itu melambangkan komitmen dan misi TNB ke arah matlamat mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Katanya, pemasangan sistem solar PV di tempat meletak kenderaan di pusat beli-belah AEON dan pasar raya besar AEON BiG itu akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan dua fasa bermula tahun ini dan dijangka tamat 2024.
“Sudah semestinya kita membuat pelaburan memandangkan ia merupakan sebahagian daripada perjalanan Peralihan Tenaga TNB dan bagi pemasangan solar PV di AEON kami memperuntukkan RM3 juta hingga RM4 juta setiap tapak seluruh negara.
“Kami harap fasa pertama pemasangan solar PV di pusat beli-belah ini akan dapat disiapkan sepenuhnya hujung tahun ini dan menyelesaikan kesemua fasa menjelang hujung 2024,” katanya pada majlis menandatangani SARE itu di AEON Alpha Angle Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko; Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Kamal Arifin A. Rahman dan Pengarah Urusan GSPARX Elmie Fairul Mashuri.

Sementara itu, Tsugutoshi Seko berkata, pemasangan pertama untuk projek ini siap pada Oktober 2022 menampilkan 1,513 (kWp) solar PV di atas bumbung dan tempat letak kereta terbuka.
Katanya, fasa pertama pemasangan solar PV itu akan melibatkan 11 pusat beli-belah AEON dan pasar raya besar AEON BiG tahun ini manakala bakinya akan dipasang pada fasa kedua bermula tahun hadapan.
“Kami bersyukur mempunyai GSPARX dan TNB, sebagai rakan kongsi dalam usaha ini. Kami percaya ini adalah gabungan kepakaran yang sangat kukuh dalam tenaga boleh diperbaharui.
” Kami melihat ini sebagai peluang yang hebat untuk terus menggalakkan penjimatan tenaga sekali gus masa depan yang lebih hijau, mesra alam.
“Di Jepun, kami mempunyai pepatah ‘mottainai’ yang bermaksud jangan buang apa yang ada berharga. Perkongsian kepakaran dan sokongan oleh TNB serta GSPARX ini adalah bukti komitmen kami untuk memastikan bahawa tiada sisa atau sangat sedikit sisa yang dihasilkan oleh AEON,” katanya. – UTUSAN











