PETALING JAYA: Synergy House Berhad (Synergy House) memeterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment Bank Berhad untuk tawaran awam permulaan (IPO) Kumpulan yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Ia susulan kelulusan daripada Bursa Securities untuk kemasukan ke Senarai Rasmi serta penyenaraian sahamnya di Pasaran ACE Bursa Securities.
Sempena penyenaraian itu, pelaksanaan IPO Synergy akan merangkumi sejumlah 130.0 juta saham termasuk terbitan awam sebanyak 80.0 juta saham baharu mewakili 16 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Saham IPO daripada terbitan awam akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, melalui pengundian sebanyak 25 juta saham mewakili 5 peratus, 12.5 juta saham (2.5 peratus) lagi kepada pengarah, pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada Kumpulan; 30 juta saham (6 peratus) kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian dan 12.5 juta saham (2.5 peratus) kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Pelaksanaan IPO itu juga termasuk tawaran untuk penjualan 50.0 juta saham sedia ada yang mewakili 10.0 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan yang akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
“Di bawah perjanjian taja jamin, Kenanga IB akan menaja jamin 25.0 juta saham baharu yang disediakan kepada orang ramai Malaysia dan 12.5 juta saham sedia ada yang disediakan kepada orang yang layak,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Eksekutif Synergy House, Tan Eu Tah berkata, perjanjian itu peristiwa penting buat Kumpulan kerana ia membawa Kumpulan selangkah lebihd ekat ke arah menjadi syarikat tersenarai.
Katanya, IPO akan memberikan Kumpulan modal untuk mengembangkan perniagaan yang mana model perniagaan Kumpulan itu pakai sejak 2004.
“Sejak 2004, kami telah memberi tumpuan semata-mata pada reka bentuk, pembangunan dan penjualan perabot rumah RTA dan penyumberan luar semua kerja pembuatan kepada pengilang pihak ketiga,” katanya.
Synergy House ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan. Melalui anak syarikatnya, Synergy House terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pembangunan dan penjualan perabot rumah RTA.
Perabot rumah RTA ialah satu bentuk perabot di mana bahagian perabot berada dalam bentuk pembungkusan rata untuk kemudahan penyimpanan dan pengangkutan dan ia memerlukan pengguna akhir untuk memasang sendiri selepas pembelian. – UTUSAN










