SK Port Dickson Guna Perisian GoTechUp, anjur program robotik - Utusan Malaysia

SK Port Dickson Guna Perisian GoTechUp, anjur program robotik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tech Up Sdn. Bhd., syarikat penyedia penyelesaian pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), mengumumkan Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), Negeri Sembilan telah memilih perisian simulasi robotik GoTechUp untuk program pembelajaran robotik secara maya.

Perisian simulasi robotik GoTechUp mengetengahkan konsep pembelajaran kendiri yang membantu murid meningkatkan kemahiran dalam pengaturcaraan dan kemahiran pemikiran kritikal bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat tertinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up berkata, Ainaa Rosli berkata, pihaknya gembira apabila mendapat maklumbalas positif bahawa perisiannya dapat memberi impak yang mereka sasarkan, iaitu mengurangkan rasa takut murid dan pendidik terhadap STEM dan pendigitalan.

“Penggunaan GoTechUp di SKPD membuktikan bahawa pendidikan STEM adalah untuk sesiapa sahaja dan bukan hanya untuk murid elit seperti yang difikirkan ramai orang.

“Kunci untuk menormalisasi digitalisasi dan pendidikan STEM dalam kalangan generasi muda adalah untuk mendedahkan dan menyokong pertumbuhan mereka dari usia muda.

“Oleh itu, kami percaya bahawa GoTechUp menyediakan murid dengan akses dan peluang yang sama rata kepada pendidikan STEM, yang mendokong cita-cita negara untuk pendigitalan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Guru Besar SK Port Dickson, Hajah Zuraidah Ahmad bersemangat tinggi untuk memulakan program robotik secara maya.

Ujarnya, pihaknya mula mengenali GoTechUp pada tahun lepas ketika terlibat dalam program anjuran mereka dan terus berminat dengan perisian tersebut.

“Bukan sahaja menjimatkan kos kerana pembelajaran boleh dilakukan secara maya tanpa robot fizikal, bahkan GoTechUp juga menjadikan pembelajaran sesuatu yang lebih menyeronokkan bagi murid-murid kita untuk dapatkan kemahiran baharu yang kritikal.

“Faktor itu memenuhi keperluan kami ketika kami cuba mempersiapkan generasi muda untuk dunia digitalisasi yang akan ditadbir mereka pada masa akan datang,” katanya.

GoTechUp menampilkan antaramuka yang mesra pengguna yang membantu murid-murid mempelajari subjek robotik dengan kaedah yang menyeronokkan.

Selain Malaysia, perisian itu juga telah digunakan di Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina, dan Korea Selatan.

SKPD mula menggunakan GoTechUp pada 17 April menerusi program yang dilaksanakan setiap bulan sepanjang tahun 2023 melibatkan lebih 600 murid dari tahun tiga hingga enam.

Selain program itu, SKPD akan meneruskan kolaborasi pintar dengan syarikat Tech Up dan menggunakan produk dari Tech Up dalam aktiviti Kelab Robotik yang baharu ditubuhkan di sekolah ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN