Serangan siber ke atas perniagaan Malaysia ningkat hampir 200%

Serangan siber ke atas perniagaan Malaysia meningkat hampir 200 peratus 2022

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan siber terhadap sektor perniagaan di Asia Tenggara dilaporkan meningkat sehingga 45 peratus tahun lalu, menurut data syarikat keselamatan siber global, Kaspersky.

Syarikat itu berkata, bagi tempoh berkenaan pihaknya telah menyekat lebih 13 juta laman web yang memudaratkan dan disasarkan kepada syarikat-syarikat perniagaan di rantau berkenaan.

Katanya, semasa tempoh pandemik pada 2020 pula, pihaknya telah menyekat sebanyak 10.2 juta serang siber melibatkan syarikat-syarikat yang terjejas.

“Jumlah itu bagaimanapun menurun kepada 9.18 juta pada 2021, namun meningkat kepada 13.38 juta tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Jelas syarikat itu, Singapura merekodkan serangan siber tertinggi tahun ke tahun dengan lonjakan kes direkodkan lebih tiga kali ganda sebanyak 329 peratus tahun lalu selepas sistem penyelesaian perniagaan Kaspersky menyekat sejumlah 889,093 serangan, daripada 207,175 serangan tahun sebelumnya.

Katanya, empat negara ASEAN lain turut merekodkan peningkatan dengan Malaysia mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 197 peratus tahun lalu kepada hampir 2 juta kes berbanding lebih 600,000 pada 2021.

Ia diikuti Thailand dengan lonjakan kes sebanyak 63 peratus (lebih 1 juta serangan), Indonesia (46 peratus/hampir 6.5 juta kes) dan Filipina (29 peratus/hampir 500,000 kes).

“Hanya Vietnam menyaksikan penurunan kes serangan siber sebanyak 12 peratus selepas merekodkan hanya 2.49 juta serangan web tahun lalu, daripada 2.82 kes tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas perkembangan itu, Pengurus Besar Kaspersky bagi Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, tahun lalu merupakan tempoh pembukaan semula untuk kebanyakan perniagaan di Asia Tenggara dan, malangnya ia juga untuk penjenayah siber.

Katanya, kerajaan Vietnam dan perusahaan atau perniagaan di negara itu terus berusaha meningkatkan keselamatan siber mereka dan hasilnya diterjemahkan kepada keputusan konkrit iaitu penurunan kes.

“Rantau Asia Tenggara yang le­bih besar bagaimanapun, memerlukan lebih banyak bantuan dalam membina keupayaan mereka untuk melindungi syarikat daripada serangan siber.

“Memandangkan 2023 menjadi tahun pertama sempadan dan pasaran dibuka semula sepenuhnya, kami menggalakkan syarikat di rantau ini memperuntukkan belanjawan dan sumber untuk me­ngukuhkan pertahanan terhadap serangan yang semakin meningkat ke atas rangkaian mereka.

“Walaupun jurang bakat keselamatan teknologi komunikasi (IT) masih menjadi isu, pakar penyumberan luar dan penyelesaian komprehensif menawarkan kecekapan yang boleh mengisi bahagian yang hilang ini,” kata beliau.

Menurut Yeo, kebanyakan serangan siber berjaya disebabkan dua kelemahan utama iaitu kesilapan manusia dan teknikal.

Juster kata beliau, perlindungan penuh bermakna syarikat perlu mencari cara untuk menutup ‘titik lemah’ tersebut.

Katanya, serangan disasarkan terhadap perniagaan, bermakna ia hanyalah titik permulaan untuk lebih banyak lagi serangan yang lebih kompleks.

“Pakar Kaspersky mencadangkan perusahaan membina penyiasatan dan tindak balas insiden berterusan secara konsisten, memupuk dan menyokong asas bakat keselamatan IT anda, serta memanfaatkan masa dan sumber,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×