PETALING JAYA: Tokoh hartanah terkemuka negara, Tan Sri Lee Kim Yew sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak muflis malah jauh daripada tidak berkemampuan untuk membayar hutang.
Memetik laporan FMT, Kim Yew berkata, salah seorang bekas pegawainya yang kini bekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Club Excellence Inc, sebelum ini memperoleh penghakiman RM3 juta yang memihak kepadanya di AS dan menggunakannya di Malaysia untuk mengisytiharkan beliau muflis.
Dakwa Kim Yew, individu berkenaan yang merupakan rakyat AS dikenali Patrick Healy kemudian merasakan ia satu kesilapan dan bersetuju berunding dengannya untuk mencapai penyelesaian dan mengetepikan perintah mahkamah itu.
Pengasas Country Heights Holdings Bhd (CHHB) itu berkata, rundingan masih diteruskan.
Beliau menganggap sekeping gambar di pangkalan data muflis dalam talian Jabatan Insolvensi yang menunjukkan dirinya muflis tular semalam, merupakan serangan peribadi terhadapnya.
“Saya mengumpul banyak aset ketara dan tidak ketara. Aset saya melebihi liabiliti,” katanya dalam sidang media di Mines Beach Resort.
Menurut Kim Yew, pihaknya sudah menulis surat kepada Putrajaya untuk membenarkan peguamnya meneruskan rundingan dengan Healy bagi mengetepikan perintah mahkamah AS itu.
“Jika gagal, saya akan memfailkan pernyataan aset dan liabiliti saya kepada ketua pengarah Jabatan Insolvensi dengan memasukkan RM3 juta, jika jabatan itu perlu berurusan dengan Healy,” katanya.
Beliau turut memaklumkan telah berundur daripada semua jawatan pengarah syarikat sejak 26 Januari lalu dan menafikan laporan dirinya dilarang keluar negara.
“Saya juga tiada rancangan melancong buat masa ini, tetapi saya tidak menerima sebarang notis larangan perjalanan,” katanya.
Terdahulu tular berita mengenai kebankrapan Kim Yew berikutan semakan di laman web e-Solvency dimana beliau dilaporkan diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Januari lalu.
Bagaimanapun Kim Yew menegaskan bahawa bukan beliau yang memfailkan perlindungan muflis, tetapi sebaliknya ia telah diisytiharkan oleh pihak ketiga. – UTUSAN










