PUTRAJAYA: Jabatan Akauntan Negara (JANM) sudah membuat bayaran balik sebanyak RM3.2 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) kepada pemiliknya setakat ini sejak 1977.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah WTD ketika ini adalah RM11 bilion berbanding RM14.1 bilion sebelum ini.
Beliau berkata, wang yang tidak dituntut itu merangkumi akaun simpanan, insurans, deposit dan lain-lain.
“Selain itu, kerajaan juga telah melaburkan sebahagian besar WTD dalam simpanan tetap dan bukannya melibatkan aset dan sebagainya.
“Faedah daripada simpanan tetap itu kemudian kita masukkan dalam kumpulan wang disatukan. Kita memperoleh kira-kira RM250 juta setahun dalam bentuk faedah,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Jabatan Akauntan Negara di sini, semalam.
Pada masa sama, Ahmad berkata, kerajaan juga berhasrat untuk meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 bagi melancarkan operasi pengurusan WTD supaya lebih cekap dan efisien.
Menurutnya, antara cadangan yang akan dikemukakan termasuk memendekkan tempoh pindahan ke akaun hasil disatukan kepada 10 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.
“Kami juga akan menyemak semula takrifan WTD selain memansuhkan keperluan warta dalam menyampaikan maklumat dan meminda amaun denda yang dikenakan terhadap syarikat firma bagi ketidakpatuhan.
“Kami sedang mendapatkan ulasan dan pandangan mengenai pindaan itu kerana akta itu sudah lama tidak dipinda. Kita jangka dapat membentangkan pindaan akta itu jika sempat akhir tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan menyeru pemilik WTD untuk menuntut wang masing-masing dengan mengemukakan permohonan melalui portal eGUMIS, kaunter JANM di seluruh negara atau melalui mel yang dihantar terus ke pejabat WTD Putrajaya.
Katanya, sejak dilancarkan pada 2020, portal eGUMIS telah menerima sebanyak 17.2 juta pelawat setakat bulan lalu dengan bilangan pengguna berdaftar adalah hampir 4.4 juta pengguna.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 354,912 permohonan tuntutan WTD dalam talian telah diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak RM199 juta amaun tuntutan WTD telah diproses,” katanya.
Katanya, JANM sedang membangunkan aplikasi mudah alih eGUMIS Mobile yang dijangka boleh mula digunakan pada suku keempat tahun ini. – UTUSAN











