Rangkaian pembayaran Kod QR rentas sempadan

Rangkaian pembayaran Kod QR rentas sempadan Malaysia-Singapura

NOR SHAMSIAH MOHD. YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura.

Jalinan pembayaran itu akan membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow dan NETS.

DuitNow QR ialah penyelesaian kod QR nasional di Malaysia yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet). NETS QR pula penyelesaian kod QR yang dikendalikan oleh rangkaian pembayaran elektronik Singapura, NETS.

DuitNow QR dan NETS QR membolehkan peniaga menerima bayaran daripada pelanggan bank dan pengendali e-dompet berbeza yang mengambil bahagian dengan menggunakan kod QR yang seragam.

“Jalinan ini akan menyokong pembayaran secara bersemuka oleh pengguna melalui pengimbasan kod QR fizikal yang dipaparkan oleh peniaga serta transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

“DuitNow-NETS QR kini saling berhubung, pelawat boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga untuk membuat pembayaran antara Malaysia dengan Singapura

“Perkhidmatan pemindahan dana individu-ke-individu (P2P) dijangka tersedia menjelang akhir tahun,” jelas BNM dalam kenyataan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, pencapaian itu merupakan langkah ke hadapan yang penting dalam merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap dan saling berhubung kait.

“Jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Singapura akan memberikan manfaat kepada berjuta-juta pengguna yang berulang-alik menggunakan Tambak Johor (Causeway) serta pelawat yang mempunyai urusan perniagaan dan percutian.

“Jalinan ini juga akan merangsang perniagaan runcit di kedua-dua negara. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan usaha sama kami untuk mempercepat agenda pendigitalan ke arah penyepaduan ekonomi dan kewangan serantau yang lebih mantap,” katanya.

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon pula berkata, jalinan pembayaran kod QR DuitNow-NETS ialah tambahan terkini kepada rangkaian pembayaran rentas sempadan Singapura yang sema­kin berkembang.

Kata beliau, jalinan itu akan membantu merangsang perdagangan rentas sempadan dan membolehkan peniaga, terutamanya perniagaan kecil, untuk memanfaatkan kumpulan pengguna yang lebih luas.

“Jalinan kod QR antara Si­ngapura dengan Malaysia ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan ASEAN ke arah kesaling­hubungan pembayaran serantau yang lancar,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×