PETALING JAYA: Proton X90, kenderaan tenaga baharu pertama keluaran Proton dan kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga untuk barisan model siri-X kini dibuka untuk tempahan di semua cawangan Proton 3S dan 4S.
Menurut Proton, X90 memasangkan Sistem Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V dengan enjin 1.5L TGDi dan direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api, mengurangkan pelepasan, meningkatkan prestasi dan menyampaikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar.
“SUV ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan baharu iaitu amaran pelanggaran belakang yang memberi amaran kepada pemandu tentang kemungkinan perlanggaran bahagian belakang.
“Selain itu, amaran trafik palang belakang mengesan kenderaan yang menghampiri semasa mengundur menggunakan bahagian penderia radar belakang serta maklumat papan tanda lalu lintas yang mengesan dan memaparkan tanda jalan,” katanya.
Proton X90 tersedia dalam empat varian iaitu Standard, Eksekutif dan Premium untuk tujuh tempat duduk serta Flagship untuk enam tempat duduk.
Spesifikasi standard didatangkan dengan enjin 1.5 TGDi dengan Mild-Hybrid, transmisi Dwi Klac tujuh kelajuan, lampu depan LED penuh, roda aloi 18 inci, tempat duduk fabrik, skrin infotainment 12.3 inci dan lampu undur, dengan tiga pilihan warna iaitu Snow White, Armor Silver dan Jet Grey.
Selain itu, spesifikasi Eksekutif iaitu naik taraf daripada standard pula didatangkan dengan sistem pemantauan tekanan tayar, pintu belakang berkuasa, tempat duduk kulit, tempat duduk kuasa pemandu, tempat duduk pengudaraan depan, kamera 360 dengan paparan 3D, serta pilihan warna tambahan Cinnamon Brown dan Red Ruby.
Bagi spesifikasi Premium pula lengkap dengan sistem bantuan pemandu lanjutan, roda aloi 19 inci, tempat duduk kulit Nappa, tempat duduk kuasa penumpang depan, pengecas tanpa wayar, bantuan parkir kereta, serta pilihan warna tambahan Biru Marin.
Flagship, iaitu naik taraf daripada Premium pula didatangkan dengan bumbung matahari panoramik, tempat duduk kuasa penumpang depan dengan suis ‘Boss,’ serta kerusi kapten baris kedua. – UTUSAN










