KUALA LUMPUR: Petronas menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 25 peratus menjelang 2030 sejajar dengan aspirasinya untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050.
Ketua Strategi, Dasar dan Peraturan, Kemampanan Korporat Petronas, Wan Sayuti Wan Hussin berkata, 25 peratus tersebut adalah berdasarkan jumlah bersamaan 57.7 juta tan pelepasan CO2 pada 2019.
Katanya, Petronas berjaya mengurangkan pelepasan CO2 bersamaan 17.5 juta tan dari 2012 hingga 2021.
“Pengurangan sebanyak 17.5 juta tan tersebut bersamaan dengan tahap pelepasan bagi negara seperti Croatia.
“Menuju ke hadapan, garis dasar kami dari 2019 hingga 2030 adalah menyasarkan pengurangan sebanyak 25 peratus berbanding tahap 2019 pada 57.7 juta tan pelepasan CO2,” katanya pada majlis engenai Aspirasi dan Bahagian Fokus Sifar Karbon Bersih Petronas di sini semalam.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Kelestarian Petronas, Charlotte Wolff-Bye dan Ketua Tadbir Urus, Perancangan dan Prestasi, Kemampanan Korporatnya, Masayu Husain.
Ditanya sama ada Petronas akan mengadakan projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di negeri lain selain Sarawak yang menarik minat kerajaan negeri itu, Wan Sayuti berkata, Petronas telah menubuhkan bahagian pengurusan karbon bagi perniagaan huluan.
“Jadi tugas utama pasukan tersebut adalah meneroka semua peluang yang ada di Malaysia tidak kira di Sabah, Sarawak atau pun Semenanjung.
“Saya rasa, anda akan mendengar lebih lagi mengenai projek atau usahasama dalam bahagian pengurusan perniagaan karbon.
“Sekarang mungkin kita hanya dengar mengenai Projek Kasawari di Sarawak. Pada masa depan lebih banyak lagi kerana mereka aktif mencari peluang yang ada di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN










