PETALING JAYA: Permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada Februari 2023 meningkat semula selepas lima kali penurunan berturut-turut pada bulan-bulan sebelumnya, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, menurut data dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), permohonan pinjaman hartanah itu meningkat sebanyak 26.6 peratus bulan ke bulan.
Ujarnya, permohonan pinjaman pada Februari 2023 melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh enam bulan yang mungkin disebabkan pemulihan minat pembelian berikutan tiada kenaikan dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Januari.
“Mengikut asas tahunan, permohonan pinjaman melonjak sebanyak 40 peratus tahun ke tahun ketika minat belian pulih daripada permintaan yang lemah dalam tempoh beberapa bulan lalu.
“Jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah pula meningkat sebanyak 26.6 peratus pada Februari 2023 ke tahap tertinggi dalam tempoh empat bulan.
“Jumlah pinjaman yang diluluskan memulih daripada penurunan lima kali berturut-turut pada bulan sebelumnya, disokong terutamanya oleh permohonan pinjaman yang lebih tinggi,” katanya dalam nota kajian.
Bagaimanapun, MIDF Research menjelaskan, peningkatan itu sebahagiannya dinafikan oleh peratusan jumlah pinjaman diluluskan yang lebih rendah berbanding jumlah pinjaman yang dipohon sebanyak 37.5 peratus pada Februari lalu.
“Mengikut asas tahunan, pinjaman yang diluluskan melonjak sebanyak 31.8 peratus selepas penurunan tiga kali berturut-turut pada November 2022 hingga Januari 2023.
“Kami berpendapat bahawa pinjaman yang diluluskan yang lebih tinggi mungkin memberi isyarat bahawa kesan negatif kenaikan OPR pada 2022 telah berakhir dan prospek jualan untuk pemaju seharusnya bertambah baik pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, MIDF Research mengekalkan pandangan ‘neutral’ pada sektor hartanah.
“Permohonan pinjaman dan data pinjaman diluluskan pada Februari 2023 adalah sedikit positif kepada sektor ini dan kami melihat pemulihan selanjutnya dalam data pinjaman akan menandakan pemulihan dalam minat belian.
“Kami kekal positif terhadap pemaju yang menyasarkan hartanah di segmen pasaran pertengahan dan mampu milik kerana minat belian adalah kukuh dalam persekitaran kadar faedah yang normal,” ujarnya. – UTUSAN