PETALING JAYA: Pasaran komoditi global akan menghadapi perubahan harga pada tahun-tahun akan datang disebabkan kebimbangan geopolitik yang berlarutan dengan tumpuan kepada China, dan perubahan iklim, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Beliau berkata, Economist Intelligent Unit (EIU) malah mengunjurkan harga minyak kekal tinggi pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, katanya, beberapa minggu kebelakangan ini, harga minyak turun mendadak berikutan kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank di Amerika Syarikat di samping isu kecairan yang dihadapi oleh Credit Suisse.
“Selain itu, bekalan gas Russia ke Kesatuan Eropah (EU) kekal terputus, mengekalkan harga yang tinggi pada tahun ini. Rentetan itu, peningkatan permintaan global untuk gas asli cecair (LNG) akan meningkatkan harga gas asli,” katanya dalam kenyataan.
Setakat pukul 4.26 petang ini, harga minyak mentah Brent naik 0.37 peratus kepada AS$77.98 setong, sementara WTI pula menokok 0.23 peratus kepada AS$74.47
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi Mac 2023 terus turun kepada 2.9 peratus berbanding negatif 0.8 peratus bulan sebelumnya.
Menurut Mohd. Uzir, penguncupan disebabkan terutamanya oleh penurunan sektor Pertanian, perhutanan & perikanan dan Perlombongan yang terus mencatatkan perubahan negatif selama tiga bulan berturut-turut pada tahun ini.
Mengenai inflasi di peringkat pengeluar negara terpilih, beliau berkata, kebanyakan negara mencatatkan indeks yang sederhana pada bulan dilaporkan, di saat kelonggaran harga komoditi dan makanan.
Katanya, IHPR Amerika Syarikat (AS) meningkat 2.7 peratus selepas peningkatan 4.9 peratus pada Februari, yang boleh dilihat pada permintaan makanan akhir terutamanya dalam buah-buahan segar dan tembikai serta telur untuk kegunaan segar.
Inflasi pengeluar tahunan Jerman pula meningkat perlahan kepada satu digit iaitu 7.5 peratus berbanding Februari 15.8 peratus, paras terendah sejak Jun 2021.
“Inflasi pengeluar India meningkat sedikit 1.34 peratus (Februari 2023: 3.85 peratus) mencecah paras terendah dalam 26 bulan berbanding angka sebelumnya.
“Sementara itu, harga pengeluar China terus menurun sebanyak 2.5 peratus berbanding negatif 1.4 peratus pada bulan sebelumnya. Ini adalah bulan keenam berturut-turut deflasi pengeluar, mencecah indeks terendah sejak Jun 2020.
“Negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan masing-masing meningkat pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya pada kadar 7.2 peratus dan 3.3 peratus,” katanya. – UTUSAN









