KUALA LUMPUR: Perjanjian Pajakan melibatkan 13 tapak komersial dan bukan komersial di kawasan lebuh raya bertol dijangka dapat mengoptimumkan penggunaan serta pembangunan di atas tanah Persekutuan bagi menjana pembentukan ekonomi yang lebih berdaya saing.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, buat masa ini terdapat 36 lebuh raya bertol yang beroperasi meliputi segenap kawasan bagi menghubungkan wilayah utara, selatan, timur dan barat di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan Perjanjian Pajakan berkenaan selaras dengan Seksyen 221, Kanun Tanah Negara 1965 [AKTA 828] (KTN 1965) di mana Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) selaku pemilik tanah yang berdaftar boleh memajakkan tanah PTP bagi tempoh maksimum 99 tahun jika berkaitan dengan seluruh tanahnya dan 30 tahun jika berkaitan dengan sebahagian tanahnya.
“Pengiktirafan pajakan secara perundangan ini dilihat dapat membolehkan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapat kepentingan eksklusif.
“Antaranya di dalam mengawal selia, mengoptimumkan pembangunan komersial serta menguruskan aturan-aturan semasa berkaitan dengan tanah atau fasiliti yang didirikan di atasnya dengan lebih teratur, cekap dan menepati kehendak undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, di sini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, mekanisme perjanjian pajakan itu juga dilihat dapat memangkin pertumbuhan pesat terutamanya di kawasan sekitar lebuh raya bertol secara komersial.
“Perkembangan secara pesat ini juga dijangka mampu merencana serta mengorak langkah lebih proaktif agar terimaan hasil dapat diperkembangkan seterusnya memperkasakan imej Kerajaan Persekutuan di dalam memastikan sistem perhubungan jalan raya lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Alexander dalam ucapannya berkata, bermula tahun ini, KKR telah mewujudkan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Tanah Bagi Lebuhraya untuk memantau prosedur dan isu pengurusan tanah di kesemua 36 lebuh raya yang beroperasi di Malaysia.
Katanya, kementerian juga tekad dan komited untuk memberi perhatian yang serius kepada isu pengambilan tanah, perizaban jajaran, pemberimilikan dan pajakan
“Adalah menjadi harapan kementerian supaya syarikat konsesi dapat melaksanakan proses pemberimilikan dengan teratur bagi setiap tapak pentadbiran dan komersil di lebuh raya.
“Pajakan ini penting supaya kepentingan Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi terjamin melalui adanya hak kepentingan eksklusif untuk mengawal selia, merancang pembangunan komersial dan menguruskan operasi harian lebuhraya.
“Ini akhirnya akan memastikan pengguna lebuhraya mendapat perkhidmatan yang cekap dan bermutu tinggi semasa menggunakan lebuhraya,” katanya.
Pada majlis berkenaan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan KKR telah memeterai Perjanjian Pajakan di antara PTP bersama Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) dan Besraya (M) Sdn. Bhd. (BESRAYA) selaku Syarikat Konsesi Lebuhraya di bawah selian KKR.
Perjanjian berkenaan melibatkan 13 tapak kawasan lebuh raya bertol iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) sebanyak enam tapak, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) sebanyak satu tapak, Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) sebanyak tiga tapak, Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) sebanyak satu tapak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) sebanyak dua tapak. – UTUSAN











