PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dikatakan bakal melantik Datuk Nik Airina Nik Jaafar sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) yang baharu.
Memetik laporan The Edge, menurut sumber, Nik Airina yang merupakan Pengarah Projek Khas dan Kewangan Korporat UEM Group Bhd akan menggantikan Datuk Azman Ismail yang meninggalkan PLUS akhir Disember tahun lalu selepas tempoh perkhidmatan beliau tamat.
Nik Airina juga merupakan Pengarah Urusan UEM Builders Bhd dan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS Expressway Bhd.
Beliau berpengalaman hampir 30 tahun di dalam perancangan, pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur pengangkutan serta operasi dan penyelenggaraan, setelah terlibat dalam pembangunan dan pengurusan pelbagai projek infrastruktur.
Antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Utara-Selatan Central Link (NSECL), Jalan Tol Cikopo-Palimanan di Indonesia, Lebuhraya Manila-Cavite di Filipina, Sambungan LRT, inisiatif pengukuhan institusi G-G untuk Lembaga Lebuhraya Kebangsaan India serta projek Pan Borneo Sabah.
Buat masa ini, Nik Airina juga menganggotai lembaga pengarah CIDB Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, dan beberapa anak syarikat lain dalam Kumpulan UEM, termasuk ProHawk, PLUS Expressways International Bhd., UEM Suria Bhd. dan Borneo Highway PDP Sdn. Bhd.
Jawatan Pengarah Urusan dan CEO PLUS kosong kira-kira tiga bulan selepas Azman yang menerajui PLUS selama enam tahun meninggalkan syarikat berkenaan Disember tahun lalu.
Azman sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLUS pada 1 Januari 2017 menggantikan Datuk Noorizah Abdul Hamid yang memilih untuk bersara.
Menurut The Edge, pihaknya difahamkan bahawa syarikat itu telah membentuk jawatankuasa eksekutif sementara untuk memikul tanggungjawab dan melaksanakan fungsi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif.
Sementara itu, sumber PLUS yang mengesahkan pelantikan itu memberitahu Utusan Malaysia, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat. – UTUSAN










