PETALING JAYA: Momentum tawaran awam permulaan (IPO) Bursa Malaysia dijangka berterusan untuk tempoh berbaki tahun ini berikutan cadangan penyerahan terutamanya bagi Pasaran ACE.
Memetik laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk Muhamad Umar Swift berkata, beberapa permohonan IPO telah diluluskan dan menunggu untuk disenaraikan.
Katanya, cadangan IPO Bursa Malaysia merangkumi ketiga-tiga pasaran itu kekal teguh dan sebanyak 10 penyenaraian IPO dicatatkan sehingga 31 Mac 2023 berbanding lima IPO bagi tempoh sama tahun lalu.
“Dianggarkan sebanyak RM992.5 juta diperoleh untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sekaligus menjadikan permodalan pasaran berjumlah RM3.5 bilion apabila disenaraikan.
“Bagi 10 syarikat yang disenaraikan pada suku pertama 2023, dua daripadanya disenaraikan di Pasaran Utama, satu di Pasaran LEAP dan selebihnya di Pasaran ACE,” katanya.
Menurut beliau sebanyak dua syarikat telah disenaraikan di Pasaran Utama, dua di Pasaran ACE, manakala satu syarikat disenaraikan di Pasaran LEAP pada suku pertama 2022.
“Pandemik Covid-19 telah memberikan impak yang ketara kepada banyak syarikat dan industri di seluruh negara dan rantau ini.
“Bagaimanapun, berikutan ekonomi telah dibuka semula dan ke arah normalisasi, banyak syarikat telah pulih, dan sebahagiannya berusaha untuk disenaraikan. Kami jangka trend ini akan berterusan sepanjang 2023,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, rangka kerja kawal selia dan ekosistem Bursa Malaysia bagi pasaran modal tempatan terus menawarkan persekitaran yang rancak dan menyokong untuk penerbit memenuhi keperluan penjanaan modal syarikat.
“Pusat sehenti Pasaran ACE bursa telah menjadikan akses pasaran modal ekuiti awam lebih cekap terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat sedang berkembang dengan potensi yang besar.
“Bagaimanapun, daripada libat urus yang kami jalankan, didapati bahawa antara cabaran utama yang dihadapi syarikat apabila ingin menjual saham kepada umum adalah pematuhan kepada keperluan pelesenan atau peraturan, sebelum mengemukakan permohonan penyenaraian masing-masing,” katanya
Sehubungan itu, bagi menangani isu tersebut, Bursa Malaysia berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan syarikat yang sedang berkembang agar membuat perancangan lebih awal untuk penyenaraian.
Langkah berkenaan bertujuan memastikan faktor tadbir urus korporat masih diterapkan sebelum proses terbabit.
Sebanyak 39 IPO dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2023. – UTUSAN










