MATTA Fair 2023 rekod jualan lebih RM300 juta

MATTA Fair 2023 rekod jualan lebih RM300 juta

MATTA Fair 2023 menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Pameran Pengembaraan Antarabangsa Terbesar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MATTA Fair anjuran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menarik kunjungan lebih 180,000 pengguna dalam tempoh tiga hari bermula 17 hingga 19 Mac lalu.

Jumlah perolehan jualan adalah lebih RM300 juta, dengan jualan domestik sahaja berjumlah RM34 juta.

Perbelanjaan purata bagi se­tiap pelanggan meningkat merentas semua destinasi pelancongan, menunjukkan masih terdapat banyak permintaan terpendam untuk perjalanan selain pengguna kekal yakin dalam perbelanjaan mereka walaupun dalam kemelesetan ekonomi global.

Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang berkata, edisi terbaharu MATTA Fair yang menempatkan 1,416 gerai dan merangkumi kawasan seluas 39,000 meter persegi ruang pameran, diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records sebagai Pameran Pengembaraan Antarabangsa Terbesar.

“Kami amat gembira kerana edisi ke-52 ini, yang juga merupakan yang pertama kami di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) telah melepasi rekod sebelum ini dari segi kapasiti, kehadiran pelawat dan jualan.

“Kami meneroka di luar zon selesa kami untuk mengambil tempat yang lebih besar dan mengatasi pelbagai halangan untuk memenuhi jangkaan pempamer dan pelawat. MATTA Fair terakhir yang diadakan pada September 2022 di Pusat Dagangan Dunia, mempunyai lebih 43,000 pengunjung dan menampilkan 536 gerai,” kata­nya dalam kenyataan.

Pameran tersebut turut disertai sebanyak 19 Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan (NTO), 13 Pertubuhan Pelanco­ngan Negeri (STO) dan lebih 220 pempamer.

Kewujudan pelbagai destinasi baharu dan akan datang se­perti Arab Saudi, Dubai, Uganda, Kyrgyzstan dan Zimbabwe telah meningkatkan kerelevanan Malaysia sebagai pasaran pelancongan yang penting.

Menurut beliau, kejayaan besar itu mencerminkan peningkatan keinginan rakyat Malaysia untuk melancong di dalam dan luar negara.

Ujarnya, bandar utama untuk tempahan tiket penerbangan antarabangsa ialah London, Melbourne, Osaka, Narita, Bangkok, Incheon, Sydney dan Bali didorong oleh tambang penerbangan yang menarik.

“MATTA Fair memberi peluang kepada pengguna untuk membeli secara terus daripada agensi pelancongan berlesen dan pengendali pelancongan. Ini juga petunjuk yang perniagaan agensi pelancongan dan pengendali pelancongan bukan sahaja mampan tetapi sangat relevan dalam dunia moden hari ini,” ujarnya.

Tambah beliau, pelancongan kekal sebagai salah satu sumber pendapatan tertinggi dan paling mampan bagi negara kita dan kerajaan perlu mengambil inisiatif yang lebih besar untuk memastikan pertumbuhan berterusan industri.

“Ini termasuk semakan semula dasar visa dan imigresen untuk menjadikan Malaysia lebih mudah diakses dan mesra, pengecualian cukai dan subsidi ke atas kenderaan pelancongan untuk meningkatkan keupayaan logistik dan pemodenan tindakan pelancongan supaya pihak berkepentingan boleh mengekalkan kelebihan daya saing mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×