PETALING JAYA: Kerjasama DRB-HICOM dan Geely bakal memberi manfaat kepada Malaysia untuk menjadi hab pengedaran kenderaan tenaga baharu (NEV) di rantau Asean, kata penganalisis ekonomi.
Malah, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerjasama itu juga mampu mempercepat dan menggalakkan peralihan kepada kenderaan NEV di negara ini.
Beliau berpendapat, ia membolehkan Proton mengeluarkan NEV mampu milik berharga serendah RM50,000.
“Geely mempunyai kepakaran dan teknologi yang boleh membantu Proton ke arah peralihan tersebut.
“Potensi tinggi itu ada memandangkan harga petrol di negara-negara jiran juga tinggi. Oleh itu, kenderaan eleterik ini mungkin akan mendapatkan permintaan yang baik tetapi perlulah dilengkapi dengan infrastruktur iaitu tempat pengesas yang mudah diakses,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, kerjasama itu memastikan Proton kekal mampan selari dengan perkembangan teknologi terkini dalam industri automotif.
Menurutnya, meskipun Proton tidak menghasilkan kenderaan sendiri sepenuhnya, namun kerjasama itu membolehkan Proton menghasilkan model-model kereta yang ingin dimiliki oleh pelanggan.
“Oleh itu, jika NEV Proton dihasilkan dan dijual dengan harga mampu milik, industri NEV akan berkembang pesat di Malaysia.
“Asalkan fasiliti untuk menyediakan perkhidmatan mengecas elektrik disediakan di seluruh negara selain kadar elektrik yang murah. Ini mampu menyaksikan penambahan NEV mampu milik.
“Perkembangan ini juga semestinya akan menyumbang kepada pendapatan yang lebih baik kepada Proton,” ujarnya.
Kelmarin, DRB-Hicom Berhad dan Geely menandatangani Perjanjian Induk (HoA) bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua syarikat dan membolehkan Automotive High-Tech Valley (AHTV) dibangunkan sebagai hab NEV di Tanjung Malim, Perak.
AHTV akan merangkumi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti secara meluas, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sehingga kepada kluster pembuatan dan perkhidmatan sokongan serta ekosistem yang berkaitan. – UTUSAN