PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dan Dewan Perniagaan Elektronik China (CECC) akan bekerjasama bagi membantu pelabur China membangunkan kemudahan kilang di negara ini di samping mempromosikan perkongsian strategik Malaysia-China.
Mah Sing dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu dijalinkan susulan daripada penyertaan syarikat berkenaan sebagai delegasi perniagaan peringkat tinggi dalam Forum Perniagaan Malaysia-China 2023 di Beijing yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata,
pihaknya sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membawa masuk pelaburan dari China dan akan bekerjasama dengan CECC bagi menyediakan perkhidmatan sehenti kepada pelabur-pelabur dari China.
“Ia bertujuan agar para pelabur dari China dapat membiasakan diri lebih cepat dengan iklim, hartanah Malaysia, serta polisi kerajaan dalam pelaburan dan industri pembuatan.
“Justeru itu, Mah Sing akan menyokong ahli CECC, daripada mencari sumber tanah kepada menyediakan kemudahan pengeluaran sehingga mengeksport barangan untuk pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Hoy Kum berkata beliau sempat bertemu dengan dengan Setiausaha Agung CECC, Peng Lihui ketika lawatan berkenaan bagi membincangkan kerjasama dan hala tuju bersama.
Katanya, pengalaman keusahawanan Mah Sing lebih 40 tahun dalam bidang pembuatan dan pembangunan hartanah di Malaysia bakal menjadikanya rakan kongsi ideal bagi syarikat China yang berminat melabur dalam negara.
“Hubungan kami dengan syarikat China ini juga akan membantu mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China dan menjadikannya yang paling tinggi dalam sejarah.
Menurut Anwar jumlah itu melibatkan 19 Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat perniagaan dari China dan Malaysia dan menunjukkan pelabur daripada negara berkenaan yakin terhadap Malaysia. – UTUSAN