Lotus yakin jual 200 Hyper-SUV

Lotus yakin jual 200 Hyper-SUV

MODEL bersama Eletre, kenderaan utiliti sukan elektrik berprestasi tinggi dilancarkan oleh Lotus. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lotus Cars Malaysia (LCM), pemegang francais tunggal kenderaan Lotus telah melancarkan Eletre serba baharu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik berprestasi tinggi (Hyper-SUV).

Kesemua tiga varian iaitu Eletre, Eletre S dan varian tertinggi Eletre R sudah tiba di pasaran Malaysia dan telah menerima tempahan sebanyak 140 unit dengan hanya 200 unit tersedia bagi tahun ini.

Pengurus Besar Lotus, Tengku Ezan Ley berkata, faktor yang mendorong kepada permintaan yang tinggu itu adalah kerana reka bentuk kereta tersebut.

“Kami yakin angka tempahan itu akan semakin meningkat kerana harga jualan Eletre adalah antara yang paling berpatutan dalam segmennya.

“Bagi 2023, Lotus Cars Malaysia hanya memperuntukkan sebanyak 200 unit Eletre dibuka untuk tempahan.

“200 unit ini adalah untuk tahun ini dengan jangkaan model akan diserahkan kepada pelanggan pada suku keempat tahun ini.

“Eletre akan menjadi model utama dan permulaan untuk pengukuhan Lotus Cars Malaysia,” katanya selepas pelancaran Lotus Eletre di sini, semalam.

Ujarnya, dari segi persaingan, apabila pelanggan melihat spesifikasi dan anggaran harga kereta tersebut mereka melihat kereta ini mempunyai nilai kepada wang.

“Teknologi juga menjadi faktor yang besar kepada pemanduan. Justeru dengan tawaran ini, kami yakin dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 200 unit pada tahun ini,” katanya.

Ezan Ley berkata, Lotus Cars Malaysia juga akan terus menumpukan kepada pengenalan kenderaan EV sepenuhnya di pasaran tempatan.

Beliau berkata, selepas ini Lotus Cars Malaysia tidak akan memperkenalkan lagi kenderaan menggunakan bahan bakar dan hanya akan membawa masuk kenderaan EV.

Malah, katanya, kumpulan juga akan meningkatkan kapasiti operasi merangkumi pembukaan baharu pusat jualan dan pameran serta pusat selepas jualannya.

“Berdasarkan kepada sambutan terhadap model Lotus termasuk Eletre, kami percaya permintaan itu masih kukuh terhadap jenama dan akan pastikan memberikan yang terbaik untuk pelanggan di negara ini. .

Sebagai SUV elektrik baharu sepenuhnya, Eletre merupakan model pertama di luar segmen kereta sukan dan kenderaan elektrik (EV) gaya hidup pertama buat Lotus.

Padat dengan prestasi yang fokus kepada teknologi, termasuklah pakej aerodinamik aktif termaju berbanding mana-mana produk SUV yang lain, Lotus Eletre menawarkan pengendalian dan pemanduan mengagumkan, stereng yang sangat responsif dan keterlibatan dengan pemandu yang luar biasa.

Harga Lotus Eletre bermula daripada RM578,000, manakala harga Lotus Eletre S bermula pada RM648,000 dan Lotus Eletre R bermula pada harga RM798,000.

Eletre dibina di atas platform serba baharu Lotus yang sangat versatil iaitu 800v Electric Premium Architecture (EPA) dengan sistem agihan kuasa bersepadu dan bervoltan tinggi.

Platform ini menggunakan aluminium dan besi regangan tinggi untuk kekukuhan struktur badan yang optimum.

Masa mengecas 350kW hanya 20 minit untuk pemanduan sejauh 400 kilometer dan boleh menerima pengecasan AC 22kw.

TENGKU Eza Ley dan Shah Yang Razalli menandatangani kerjasama antara Lotus Cars Malaysia dan Gentari Grenn Mobility. – UTUSAN/SYAKIR RADIN

Dalam pada itu, pada majlis yang sama, LCM menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama penyedia penyelesaian tenaga bersih Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) melalui anak syarikat milik penuhnya Gentari Green Mobility Sdn. Bhd. untuk meneroka kerjasama dalam infrastruktur pengecasan (EV) di kemudahan LCM, serta kawasan awam, termasuk pakej pengecasan EV untuk pemilik Lotus EV.

Kerjasama berpotensi lain yang disasarkan untuk penerokaan termasuk pengenalan penyelesaian Armada Kenderaan Sifar Pelepasan di Malaysia, penggunaan tenaga boleh diperbaharui di kemudahan LCM dan platform digital dengan LCM.

Menandatangani MoU yang diadakan semasa pelancaran Lotus Eletre di sini hari ini, menyaksikan Gentari diwakili oleh Ketua Pegawai Mobiliti Hijaunya, Shah Yang Razalli, manakala LCM diwakili oleh Tengku Ezan.

Shah Yang berkata, di Gentari, pihaknya bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama merentas semua segmen pengangkutan dalam memacu ke arah mobiliti mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×