PETALING JAYA: Khazanah Nasional (Khazanah) menerajui usaha untuk menangani jurang yang lazim dalam perumahan sosial di Malaysia dalam Program Perumahan Rakyat (PPR) melalui pencadangan dasar, pemerkasaan komuniti dan inisiatif placemaking.
Usaha bersepadu tersebut dibuat bersama badan-badan gabungannya iaitu Khazanah Research Institute (KRI), Yayasan Hasanah (Hasanah) dan Think City.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, objektif Khazanah ialah penciptaan nilai masyarakat yang berterusan untuk negara yang memainkan peranan penting dalam strategi memajukan Malaysia, sambil mengorak langkah ke hadapan bagi menyampaikan masa depan yang mampan.
“Bagi mencapai matlamat ini, peminggiran sosial mesti ditangani untuk kita menikmati masa depan yang positif dan antara yang memerlukan perhatian segera ialah komuniti PPR.
“Bersama badan-badan gabungan, kami komited dalam menyampaikan inisiatif berimpak untuk manfaat rakyat Malaysia dalam komuniti ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memuji pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan peruntukan tambahan RM35 juta untuk program pemerkasaan komuniti untuk komuniti perumahan awam di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 50,000 penduduk melalui program Kita-Untuk-Kita (K2K) yang diterajui oleh Think City,” ujarnya.
Tegasnya, kerjasama antara entiti Khazanah yang berkaitan akan mengukuhkan lagi peranannya sebagai dana kekayaan berdaulat yang berupaya menangani isu-isu utama yang memberi kesan kepada rakyat.
Sementara itu, tinjauan KRI dari 2016 hingga 2017 untuk laporannya mendapati, walaupun kompleks PPR telah berjaya menyediakan tempat perlindungan kepada golongan miskin bandar, kompleks ini pantas menjadi kawasan setinggan bandar.
Tambahan pula, sebilangan besar isi rumah, bukan hanya golongan miskin, akan memerlukan perumahan sosial jika kemampuan pemilikan pasaran perumahan diabaikan tanpa pengawasan.
Sementara itu. Pengerusi KRI, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, tanpa kita sedari inisiatif PPR telah menimbulkan masalah baharu iaitu ‘perumahan usang serta tidak berkualiti untuk golongan miskin’ terutama di bangunan berstrata.
“Ini menimbulkan kesan negatif terhadap kesejahteraan penduduk.
“Oleh itu, cadangan dasar perlu termasuk tumpuan kepada kualiti perumahan sosial, peranan kerajaan dalam mengekalkan skim perumahan sosial yang mencukupi serta kesan penyediaan perumahan sosial ke atas pasaran perumahan swasta,” jelasnya. – UTUSAN