PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah diberikan penarafan kredit penerbit pertamanya iaitu A3 dan A- daripada Moody’s Investors Service dan S&P Global Ratings.
Khazanah berkata, penarafan kredit gred pelaburan tersebut mencerminkan keupayaan yang kukuh bagi memenuhi komitmen kewangannya walaupun terdedah kepada keadaan ekonomi yang amat mencabar.
Katanya, sejak 2004, Khazanah telah menjadi penerbit tetap dalam pasaran modal global dan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab terkemuka bagi Kewangan Islam melalui urus niaga yang menjadi mercu tanda termasuk Sukuk boleh tukar (exchangeable Sukuk) pertama dunia dan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab pertama negara.
“Memandangkan Khazanah tidak menerima kemasukan modal biasa, ia bergantung pada keupayaannya untuk menjana pulangan dan memanfaatkan pasaran modal untuk membiayai pelaburannya,” katanya dalam kenyataan.
Secara kebiasaan katanya, Khazanah menikmati akses kepada pasaran modal, malah berjaya menetapkan harga sukuk tidak dinilai taraf semasa kemuncak pandemik Covid-19.
Jelasnya, permintaan pelabur yang kukuh meskipun aliran pasaran yang menurun mencerminkan keyakinan terhadap kredit Khazanah dan keupayaannya untuk menyampaikan mandatnya sebagai dana kekayaan negara Malaysia.
“Penarafan kredit antarabangsa ini akan meningkatkan lagi daya tarikan Khazanah sebagai penerbit dan mengembangkan pangkalan pelabur globalnya,” tambahnya.
Menurut pengurus dana kekayaan negara itu, berdasarkan analisis Moody’s dan S&P, penarafan A3/A- Khazanah disokong oleh hubungan kukuhnya dengan Kerajaan Malaysia, kepentingan Khazanah dalam aset-aset strategik Malaysia merentas sektor-sektor utama, dan peranannya dalam menyokong dan melaksanakan objektif sosioekonomi kerajaan.
Moody’s juga menyatakan keupayaan Khazanah untuk memanfaatkan pendanaan luaran, rekod prestasi dalam amalan dan dasar kewangan konservatif, dan komitmen untuk beroperasi dalam tahap keumpilan yang disasarkan yang dinyatakan secara umum. – UTUSAN










