PUTRAJAYA: Hartanah kediaman siap yang tidak terjual menurun kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion setakat akhir Disember 2022, daripada 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion dalam tempoh sama setahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Johor mengekalkan jumlah dan nilai tidak terjual tertinggi dalam negara dengan 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion.
Menurutnya, ia diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion, Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion) dan Kuala Lumpur (3,429 unit bernilai RM3.15 bilion).
“Status hartanah kediaman siap tidak terjual berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus, diikuti kediaman berharga antara RM300,000 hingga RM500,000 membabitkan 8,128 unit bernilai RM3.29 bilion (29.3 peratus).
“Manakala bagi hartanah kediaman di bawah RM300,000 tidak terjual adalah sebanyak 6,509 unit bernilai RM1.34 bilion dan kediaman bernilai RM1 juta dan ke atas adalah sebanyak 3,785 unit bernilai RM7.50 bilion,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya antara faktor yang menyebabkan masih banyak hartanah kediaman tidak terjual, Ahmad berkata, ia membabitkan keupayaan rakyat untuk memiliki sesuatu hartanah selain lokasi yang tidak menepati permintaan atau kesesuaian.
Jelas beliau, hanya Melaka menjadi satu-satunya negeri yang nisbah harga rumah mampu miliknya menepati keupayaan pembeli.
“Sebagai contoh, keupayaan rakyat di sesebuah negeri itu adalah RM200,000 tetapi kediaman yang dibina bernilai RM250,000, jadi itu juga trend yang kita lihat berlaku.
“Oleh sebab itu, pemaju perumahan ini hendaklah membuat penilaian berdasarkan kemampuan rakyat di negeri berkaitan, NAPIC ada angka-angka itu. Apabila hartanah kediaman yang disiapkan melebihi keupayaan rakyat, jadi ia sukar untuk dijual,” ujarnya.
Katanya lagi, maklumat berkenaan hartanah kediaman siap yang tidak terjual tersebut perlu diuar-uarkan kepada rakyat supaya orang ramai tahu tentang jumlah sebenar.
“Kita nak sebar maklumat ada jumlah yang banyak hartanah kediaman masih tak terjual kemudian barulah boleh dapatkan segala bentuk insentif yang diumum kerajaan yang mana berkaitan dengan pendapatan mereka,” katanya. – UTUSAN











