Honeywell perluas pasaran

Honeywell perluas pasaran dalam UAM, UAS

MATT Spalding (dua kiri) bersama kru demonstrasi penerbangan Boeing 757 di Lapangan Terbang Changi, Singapura. - FOTO/HONEYWELL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbangan autonomi yang semakin menonjol di Asia Pasifik (APAC) mendorong Honeywell Aerospace melabur dalam Mobiliti Udara Bandar (UAM) dan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) di wilayah berkenaan.

Naib Presiden/Pengurus Besar Wilayah APAC, Honeywell UOP, Matt Spalding berkata, pihaknya berharap untuk melihat lebih banyak negara di Asia menerima teknologi sedemikian.

“APAC merupakan rumah kepada ekonomi yang sedang pesat membangun dan dilihat sebagai pasaran yang berpotensi bagi UAM berikutan peningkatan kesesakan lalu lintas dan keperluan penghantaran logistik.

“Ia disebabkan oleh kepadatan penduduk dan penggunaan pendapatan yang tinggi di rantau berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Spalding, Honeywell telah melancarkan unit perniagaan UAS baharu pada 2020 dalam mempercepatkan pertumbuhan penerbangan autonomi dan mesra alam.

Katanya, ia termasuk beberapa penyelesaian UAS/UAM seperti sistem kenderaan melibatkan sistem avionik bersepadu dengan penggerak, sistem pendorong elektrik dan hibrid-elektrik yang lengkap, dan kawalan terma.

“Sistem operasi seperti pengurusan trafik tanpa pemandu – akses ruang udara, penghalaan dan pengurusan penerbangan, dan penyelenggaraan ramalan untuk membolehkan operasi armada tempo tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Spalding berkata, kemampanan merupakan kunci utama kepada pertumbuhan di Honeywell Aerospace dan ia menjadi tumpuan inovasi syarikat tersebut.

Katanya, syarikat penerbangan, pengeluar pesawat dan teknologi seperti Honeywell menumpukan lebih masa dan sumber dalam mencari kaedah terbaik bagi menyampaikan pengalaman perjalanan udara yang didambakan orang ramai sambil meninggalkan jejak persekitaran yang lebih kecil.

“Operasi penerbangan akan menjadi lebih cekap dengan operator menggunakan teknologi penyambungan termaju, di dalam dan di luar pesawat, untuk membolehkan penggunaan ruang udara, landasan dan lapangan terbang yang lebih cekap, walaupun bilangan penumpang meningkat.

“Teknologi juga membantu mengoptimumkan laluan, menjadikan perjalanan syarikat penerbangan lebih pantas dan cekap selai meningkatkan prestasi mengikut masa dan mengurangkan penggunaan bahan api.

“Bahan-bahan penting seperti hidrogen dan SAF akan tersedia di seluruh dunia untuk menyokong operasi penerbangan yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×