Harga sarung tangan getah dijangka terus menurun - Utusan Malaysia

Harga sarung tangan getah dijangka terus menurun

getah
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri sarung tangan tempatan diunjur memberi sumbangan berterusan kepada ekonomi negara meskipun tidak sehebat semasa Pandemik Covid-19 sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia ekoran jangkaan peningkatan kapasiti pengeluaran sarung tangan global akan berkembang 16 peratus tahun ini.

Menurut Ahmed Razman, persaingan antara pengeluar sarung tangan terutamanya di China dilihat memberi saingan kepada pengeluar sarung tangan tempatan.

“Kewujudan pengeluar sarung tangan di China disebabkan permintaan yang tinggi di negara tersebut semasa Pandemik Covid-19 sehingga sekarang.

“Sektor sarung tangan akan berterusan memberi sumbangan kepada negara tetapi tidak akan sehebat semasa pandemik dulu,” katanya.

Ditanya sama ada harga sarung tangan getah akan menurun atau tidak, Ahmed Razman berkata, terdapat kemungkinan berlakunya penurunan harga memandangkan pengeluaran melebihi permintaan.

“Namun pemain industri boleh mengekalkan harga dengan menawarkan nilai tambah kepada barangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, sektor sarung tangan getah mampu kembali pulih sekiranya ‘market clearing’ melibatkan lebihan kapasiti pengeluarannya berlaku dengan pantas.

Bagaimanapun beliau berkata, ia bergantung kepada beberapa faktor termasuklah penawaran dan permintaan serta situasi ekonomi yang baik bagi mengembalikan keseimbangan.

Jelas beliau, penawaran berlebihan dalam pasaran mampu menyebabkan harga sarung tangan getah jatuh namun ia bukanlah satu-satunya faktor utama memandangkan di dalam ekonomi terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi turun naik sesuatu harga misalnya masa, upah dan bahan mentah.

“Kebiasaan pengeluar ada persatuan sendiri dan mereka boleh mengawal harga bukan antara kita di mana mereka sudah bersetuju mengeluarkan kuantiti berkenaan dengan harga lebih tinggi dari kos dan tidak mungkin mendadak jatuh,” katanya.

Terdahulu, Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘underweight’ untuk sektor sarung tangan dan menjangkakan sektor itu akan terus menghadapi landskap perniagaan yang mencabar dan berdaya saing pada masa hadapan.

Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, ia disebabkan oleh kos yang tinggi, harga jualan purata rendah dan kapasiti besar yang membawa kepada pengurangan kadar penggunaan industri.

Katanya, ramalan permintaan-bekalan menunjukkan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk pertumbuhan permintaan yang konsisten bagi mengisi sepenuhnya kapasiti lebihan semasa dalam industri.

“Lebih kapasiti yang diperluaskan bermakna harga rendah dan penggunaan kilang yang tertekan mungkin akan berterusan pada 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya