LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan harga minyak sawit mentah pada April ini akan menunjukkan sedikit pengukuhan berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pengukuhan itu didorong dasar baharu Indonesia untuk mengenakan obligasi pasaran domestik (DMO) ke atas minyak sawit pada sambutan Ramadan dan Aidilfitri.
“Namun begitu, walaupun Indonesia mengenakan DMO, pengurangan harga minyak kacang soya (SBO) dan minyak biji sesawi (RSO) kerana peningkatan penawaran akan menekan harga MSM. Jadi, peningkatan harga tidak akan terlalu banyak.
“Purata minggu ke 12 (pada 20 hingga 24Mac 2023) ketika ini diniagakan antara RM3,800 hingga RM4,100 setiap tan dan dijangka akan mengukuh sedikit pada minggu ke 13 (27 hingga 31 Mac 2023) sekitar RM3,900 hingga RM4,100,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai prospek industri pada tahun ini, beliau berkata, prospek industri sawit Malaysia dijangka kekal berdaya saing pada 2023 didorong oleh jangkaan peningkatan permintaan minyak sawit, meskipun wujud amaran kelembapan ekonomi global oleh Bank Dunia yang berisiko memberi kesan kepada perdagangan dunia.
Dari segi pengeluaran MSM, MPOB menjangkakan pengeluaran MSM meningkat sebanyak hampir 3.0 peratus kepada 19 juta tan berbanding 18.45 juta tan pada 2022.
Jelasnya, jangkaan peningkatan adalah didorong oleh jangkaan peningkatan dalam kawasan tanaman matang, keadaan cuaca yang dijangka lebih baik serta jangkaan situasi buruh yang beransur pulih memandangkan permohonan pekerja asing telah diluluskan secara berperingkat.
Ujarnya, peningkatan pengeluaran MSM ini seterusnya mampu merangsang pertumbuhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit tahun ini di mana eksport minyak sawit diunjurkan meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada 16.30 juta tan berbanding 15.71 juta tan pada 2022.
Katanya, stok akhir minyak sawit Malaysia pada 2023 dijangka susut 9.1 peratus kepada 2 juta tan daripada 2.20 juta tan pada 2022 berikutan jangkaan peningkatan permintaan eksport, terutamanya dari negara pengimport utama.
Tambah Ahmad Parveez, purata harga MSM pada 2023 dijangka berlegar antara RM4,000/tan dan RM4,200 setiap tan berbanding RM5,087.50/tan pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Pensyarah Senior Pusat Pengajian Perakaunan & Kewangan, Taylor’s University Lakeside Campus, Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin berkata, prospek industri minyak sawit Malaysia kekal cerah disokong oleh penawaran dan permintaan yang seimbang serta jangkaan isu kekurangan buruh yang akan kembali pulih menjelang Jun ini.
“Prospek harga adalah berdasarkan permintaan China berikutan pembukaan semula sempadannya selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19 dan juga kesan penurunan pengeluaran minyak bunga matahari dari Ukraine kerana peperangan dengan Russia.
“Dilaporkan juga, pesaing kita Indonesia yang juga pengeluar terbesar minyak kelapa sawit dunia, bersedia untuk menggantung beberapa permit eksport minyak sawit secara sementara untuk menjamin keperluan bekalan domestiknya.
“Selain itu, mereka juga telah meningkatkan mandat pengadunan biodiesel daripada 30 peratus kepada 35 peratus pada Februari lalu yang akan mengurangkan bekalan eksport daripada pasaran global.
“Justeru, ini memberi peluang kepada peningkatan hasil yang lebih tinggi kepada pengeluar minyak sawit Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat ketidaktentuan permintaan disebabkan oleh peningkatan inventori minyak makanan di India dan Bangladesh, serta keadaan makroekonomi di Pakistan. – UTUSAN










