Harga emas lebih tinggi, menokok 0.3 peratus

Harga emas lebih tinggi, menokok 0.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas lebih tinggi semalam, selepas dolar susut di­sebabkan pelabur mengambil sikap berhati-hati, menunggu data ekonomi Amerika Syarikat (AS) selanjutnya yang akan dikeluarkan minggu ini untuk mengukur langkah dasar Rizab Persekutuan (Fed) seterusnya.

Menurut Reuters, emas spot menokok 0.3 peratus kepada AS$1,994.90 seauns, sementara niaga hadapan emas AS turut meningkat 0.3 peratus kepada AS$2,000.

Kejatuhan indeks dolar menjadikan emas lebih menarik untuk pedagang yang memegang mata wang lain.

Menurut Pengarah Kedia Commodities di Mumbai, Ajay Kedia, emas akan terus meningkat disebabkan kejatuhan dolar.

Beliau berkata, tumpuan kini kepada data ekonomi AS berikutnya dan mesyua­rat Fed, bagi memahami dasar bank pusat itu mengenai kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

“Sehingga itu, harga emas mungkin dalam julat AS$1,970 hingga AS$2,020,” kata Kedia, sambil menambah bahawa senario keseluruhan masih kekal menyokong emas.

Sementara itu, laporan dari Fed di Dallas semalam menunjukkan, aktiviti pengeluaran di Texas mengalami penyusutan pada April.

Tinjauan pasaran Reuters menunjukkan, sebanyak 87.2 peratus menjangkakan kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat Fed dijadual 2 hingga 3 Mei ini.

Dalam pada itu, kebimbangan semakin meningkat bahawa Jabatan Perbendaharaan AS boleh mencapai had hutangnya dalam beberapa bulan akan datang menyebabkan pelabur mengelak bil Perbendaharaan tertentu dan mencari tempat berisiko rendah untuk meletakkan wang tunai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×