PUTRAJAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pinjaman menerusi kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) akan disenarai hitam, sekiranya gagal membayar balik pembiayaan yang diterima.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, selain itu, peminjam terbabit juga akan disenarai dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) atau CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS).
“FSA2 bukan satu cagaran, apabila peminjam berusia 50 tahun, katakan ada baki RM10,000 yang tidak dibayar, barulah KWSP akan berikan kepada bank RM10,000 yang belum dibayar itu, walaupun demikian namanya masuk senarai hitam sebab dia tak bayar hutang.
“Jadi saya ingin menyatakan risiko dia pinjam dan menggunakan FSA2 tetap ada. Risiko masuk CCRIS dan CTOS tetap ada, kalau dia tak bayar, tetapi yang baiknya FSA2 ini pencarum tetap mendapat dividen lebih tinggi daripada faedah dikenakan dan saya harap dividen KWSP itu sentiasa lebih tinggi daripada faedah pinjaman peribadi yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di sini, semalam.
Ahmad berkata, ahli KWSP yang menggunakan kemudahan FSA2 perlu membayar pinjaman mereka setiap bulan dengan kadar faedah sekitar 4.5 peratus namun, masih lagi dapat menikmati dividen dalam akaun KWSP sekitar lima hingga enam peratus pada setiap tahun yang diumum.
“Saya harap mereka (pencarum) tidaklah segera untuk meminjam (kerana) yang meminjam ini atas dua sebab sahaja iaitu betul-betul sulit dari segi kewangan dan kedua, ada keupayaan untuk membayar.
“Kalau dia tidak sulit kewangan untuk apa dia pinjam sebab KWSP masih lagi membenarkan pengeluaran untuk perumahan, perubatan dan kesihatan, pendidikan, haji sekitar RM3,000 dan insurans. Jadi lima perkara itu masih dibenarkan, apakah
kesukaran hidup kita (kerana) sudah dilindungi dengan lima kebenaran pengeluaran itu.
“Jadi apakah kesukaran tambahan? Mungkin nak bayar hutang-hutang yang lain. Itu yang disyor untuk berniaga lah tapi saya dibantai kiri kanan, depan dan belakang,” ujarnya.
Ahmad sebelum ini memberitahu, hanya 27,705 atau 46 peratus daripada 59,230 pemohon FSA2 KWSP layak membuat pinjaman dengan bank-bank yang menyediakan inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, hartanah kediaman siap yang tidak terjual menurun kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion setakat akhir Disember 2022, daripada 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion dalam tempoh sama setahun sebelumnya.
Ahmad berkata, berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Johor mengekalkan jumlah dan nilai tidak terjual tertinggi dengan 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion, diikuti Selangor (3,698 unit bernilai RM2.74 bilion), Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion) dan Kuala Lumpur (3,429 unit bernilai RM3.15 bilion).
“Status hartanah kediaman siap tidak terjual berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta adalah yang tertinggi sebanyak 9,323 unit bernilai RM6.29 bilion atau 33.6 peratus, diikuti kediaman berharga RM300,000 hingga RM500,000 membabitkan 8,128 unit bernilai RM3.29 bilion (29.3 peratus).
“Manakala bagi hartanah kediaman di bawah RM300,000 tidak terjual adalah sebanyak 6,509 unit bernilai RM1.34 bilion dan kediaman bernilai RM1 juta dan ke atas adalah sebanyak 3,785 unit bernilai RM7.50 bilion,” katanya. – UTUSAN










