KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan YTL Cement menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menyokong peralihan industri pembinaan negara kepada pembinaan mampan.
CREAM ialah anak syarikat di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang bertanggungjawab ke atas penyelidikan dan pembangunan industri pembinaan.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, tiga fokus utama MoU selama dua tahun itu adalah pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan menyokong sektor pembinaan untuk beralih kepada pembinaan mampan.
Katanya, CIDB dan YTL Cement akan bersama-sama mereka bentuk program latihan untuk belia bagi diperakui sebagai juruteknik konkrit dan membangunkan silibus latihan program akreditasi kakitangan yang berkelayakan dalam operasi.
“CIDB mempunyai enam akademik yang melatih pekerja mahir. Apabila mereka menamatkan latihan, kami berharap dapat membawa mereka ke YTL Cement untuk memberi latihan seterusnya yang memberi fokus pada simen dan teknologi berkaitan sekaligus menambahkan lagi kemahiran mereka.
“Selain itu, kami juga melihat pada graduan diploma dan ijazah yang menganggur atau bekerja di bawah kelayakan mereka bagi menambah baik dan melatih mereka dalam industri ini untuk meningkatkan kebolehpasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CREAM, Ir. M. Ramuseren dan Pengarah Eksekutif YTL Cement, Patrick Pereira dan turut disakikan oleh Pengarah Urusan YTL Cement Datuk Seri Michael Yeoh.
Tambah Ahmad ‘Asri, YTL Cement juga akan menawarkan akses kepada makmal dan kemudahan ujiannya dan kedua-dua pihak akan menjalankan R&D ke atas alternatif karbon yang lebih rendah dalam bahan dan kaedah pembinaan.
“Pada asasnya, simen perlu diperakui oleh CIDB sebelum boleh digunakan di pasaran. Jadi dengan adanya makmal ini, kami berharap dapat menggunakan makmal bersama-sama untuk pensijilan.
“Ini bermaksud, mana-mana pengeluar simen mereka boleh menggunakan kemudahan itu untuk menguji dan mendapatkan pensijilan daripada CIDB,” ujarnya.
Selain itu, CIDB dan YTL Cement akan bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran tentang karbon dalam sektor pembinaan dengan menyediakan saluran perbincangan dan pemindahan pengetahuan dalam kalangan industri pengamal dan pakar. – UTUSAN










