PETALING JAYA: Country Heights Holdings Berhad (CHHB) memberi jaminan insiden peribadi salah seorang pemegang saham mereka baru-baru ini tidak akan memberi kesan kepada prestasi kewangan atau operasi syarikat.
Pengarah Urusannya, Dato Mircle Yap berkata, pihaknya menghargai sumbangan semua pihak pemegang saham, tetapi ingin menekankan bahawa insiden peribadi adalah perkara sulit dan tidak akan menjejaskan operasi CHHB.
“Kami mempunyai pasukan pengurusan yang cekap dan struktur tadbir urus korporat yang kuat disediakan untuk memastikan operasi perniagaan kami berterusan tanpa gangguan.
“Pelabur perlu yakin bahawa prestasi dan pandangan kewangan CHHB adalah berdasarkan asas perniagaan kami yang kukuh, termasuk portfolio hartanah yang pelbagai, pelaburan strategik dan rekod prestasi yang terbukti mencipta nilai untuk pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, CHHB kekal komited terhadap strategi pertumbuhannya dan percaya akan terus menjana nilai jangka panjang untuk para pelabur.
“CHHB sangat menghargai kepercayaan pelabur dan ingin menekankan bahawa situasi kewangan peribadi atau ketidaksolvenan mana-mana pemegang saham tidak akan menjejaskan prestasi kewangan atau operasi kumpulan,” ujarnya.
Kumpulan itu mengiktiraf dan menghargai dasar tadbir urus korporat Bursa Malaysia yang teguh dan kekal berdedikasi untuk mengekalkan standard etika serta profesionalisme yang terbaik.
Strategi pertumbuhan kumpulan kekal sebagai keutamaan, dan kumpulan sentiasa menjana nilai pemegang saham.
Media sebelum ini melaporkan, tokoh hartanah terkemuka negara, Tan Sri Lee Kim Yew menegaskan bahawa bukan beliau yang memfailkan perlindungan muflis, tetapi sebaliknya ia telah diisytiharkan oleh pihak ketiga, berkaitan saman berjumlah RM3 juta.
Memetik laporan FMT, Kim Yew berkata, salah seorang bekas pegawainya yang kini bekerja di sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Club Excellence Inc, sebelum ini memperoleh penghakiman RM3 juta yang memihak kepadanya di AS dan menggunakannya di Malaysia untuk mengisytiharkan beliau muflis.
Dakwa Kim Yew, individu berkenaan yang merupakan rakyat AS dikenali Patrick Healy kemudian merasakan ia satu kesilapan dan bersetuju berunding dengannya untuk mencapai penyelesaian dan mengetepikan perintah mahkamah itu.
Pengasas Country Heights Holdings Bhd (CHHB) itu berkata, rundingan masih diteruskan.
Beliau menganggap sekeping gambar di pangkalan data muflis dalam talian Jabatan Insolvensi yang menunjukkan dirinya muflis tular semalam, merupakan serangan peribadi terhadapnya.
“Saya mengumpul banyak aset ketara dan tidak ketara. Aset saya melebihi liabiliti,” katanya dalam sidang media di Mines Beach Resort.
Berita tentang kebankrapannya telah menjadi viral berikutan semakan di laman web e-Solvency.
Kim Yew yang juga Pengasas CHHB dilaporkan diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Januari lalu.
Pada 3 Februari lalu, beliau mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif CHHB bagi memudahkan peralihan dalam pengurusan Kumpulan itu. – UTUSAN










