PETALING JAYA: Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengumumkan akan memberikan jaminan kewangan sehingga RM76.8 juta bagi penerbitan sukuk bernilai RM96 juta oleh Econas Resource to Energy Sdn. Bhd. (ER2E).
BPMB dalam kenyataannya berkata, sukuk itu adalah sebahagian daripada program ASEAN Sustainability SRI Sukuk Murabahah RM500 juta ER2E.
Katanya, dana tersebut akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pembangunan Kompleks Pemulihan Sumber dan Pelupusan (RRDC) dan Kemudahan Rawatan Sisa Berjadual Sumber Tenaga (R2E-SW) Bersepadu di Pengerang, Johor yang akan meningkatkan kapasiti kemudahan pengurusan sisa berjadual di Malaysia.
AmInvestment Bank Berhad adalah penasihat utama dan pengatur kumpulan untuk program itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Roni Abdulwahab berkata, projek tersebut selaras dengan tujuan bank untuk menyokong pembangunan negara menerusi penyediaan modal berimpak tinggi.
“BPMB telah membangunkan satu rangka kerja yang dikenali sebagai Measuring Impact on National Development, atau MIND untuk menilai impak semua projek yang dibiayainya.
“MIND menilai secara objektif elemen-elemen pembangunan, sosio-ekonomi dan alam sekitar sesuatu projek. Keputusan penilaian ini saling melengkapkan proses penilaian kredit BPMB,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan ER2E, Datuk Mohd. Shafiee Mohd. Sanip berkata, RRDC dan R2E-SW yang bertempat di Pengerang berada di lokasi strategik untuk memenuhi keperluan syarikat-syarikat yang beroperasi di seluruh negara termasuk di sekitar kawasan industri berhampiran serta di selatan Semenanjung tanah air.
“Ini akan menjadi kemudahan rawatan sisa bersepadu pertama di Johor yang memenuhi keperluan kapasiti rawatan khusus untuk sisa industri.
“Projek ini juga akan membantu dengan sisa yang dijana di Pengerang Integrated Petroleum Complex, (PIPC),” ujarnya.
Beliau berkata, projek itu juga akan membantu untuk mengelak berlakunya kejadian pembuangan sisa berjadual secara tidak betul yang mengakibatkan pencemaran sungai dan pencemaran umum.
Tambah kenyataan tersebut, projek RRDC, R2E-SW akan dijalankan dalam dua fasa dengan fasa pertama merangkumi tapak pelupusan yang selamat, loji pirolisis dan mikro, loji pengukuhan, loji rawatan leachate dan semua infrastruktur sokongan dan dijadualkan untuk memulakan operasi pada suku keempat 2023.
“Fasa kedua akan melibatkan pembinaan R2E-SW yang boleh merawat pelbagai jenis sisa industri dan pada masa yang sama menghasilkan tenaga boleh diperbaharui menggunakan sisa tersebut.
“ER2E juga terlibat dalam pengumpulan, rawatan, kitar semula, pemulihan dan pembuangan akhir sisa terjadual,” jelasnya. – UTUSAN










