PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) bagi menyediakan penyelesaian kewangan untuk bakal jemaah haji.
Penyelesaian itu bagi jemaah yang ingin mengambil pakej haji melalui 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) lantikan Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga merupakan ahli Bumitra.
MoU itu bertujuan melaksanakan kerjasama dan sesi perkongsian ilmu bagi mendidik pelanggan Bumitra mengenai penyelesaian kewangan yang disediakan oleh Bank Islam, terutamanya untuk haji dan umrah.
Bidang kerjasama itu juga merangkumi usaha untuk membantu penyebaran maklumat mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, memandangkan kos pakej haji kian meningkat disebabkan faktor luar kawalan, pembiayaan peribadi yang ditawarkan adalah tepat pada masanya.
“Ia membolehkan lebih ramai lagi umat Islam yang berkemampuan menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Sementara itu, peranan Bank Islam tidak hanya terhad sebagai hab-solusi kewangan bagi jemaah haji semata-mata tetapi akan diperluaskan dengan menyeluruh kepada lebih 600 syarikat pelancongan yang berdaftar di bawah Bumitra dan pelanggan-pelanggannya,” katanya.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji.
Kad debit itu dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif untuk para pemegang kad.
Selain menawarkan rangkaian pembayaran dan akses tunai yang meluas di seluruh dunia, kad itu juga memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah haji ketika berada di Arab Saudi, ini termasuk tiada caj akan dikenakan bagi pengeluaran tunai pada musim haji.
Pada majlis tersebut, Bank Islam turut melancarkan kempen, ‘Once in a Lifetime’, khas kepada bakal haji atau waris terdekat yang ingin membantu ibu bapa untuk menunaikan haji dengan memohon pembiayaan peribadi dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000.
Kempen yang berlangsung dari 24 Mac sehingga 31 Mei 2023, menawarkan peluang memenangi hadiah pakej umrah. – UTUSAN










