KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) menyasarkan pertumbuhan dua kali ganda jumlah pengguna kad kreditnya dalam tempoh setahun melalui ciri keselamatan baharu kad kredit visa maya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, buat masa ini bank berkenaan mempunyai lebih 120,000 pengguna kad kredit dan jumlah itu bakal bertambah kepada 240,000 pengguna dalam tempoh setahun.
“Pangkalan pengguna kad kredit kami kini berjumlah 120,000 dan kami bercita-cita tinggi untuk menggandakan jumlah ini dalam tempoh setahun menerusi pengenalan ciri baharu ini yang memberikan lebih kawalan dan ketenangan fikiran kepada pengguna dalam melaksanakan transaksi digital mereka.
“Ia juga bakal dicapai menerusi kerjasama dengan rakan kongsi kami iaitu Visa Malaysia, CTOS Digital Berhad, Ringgit Plus, YTL Communications dan Touch N Go Digital,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kad Dinamik bagi Kad Kredit Maya Visa Platinum Alliance Bank, di Mid Valley, di sini.
Mengulas lanjut, Kam berkata, usaha Alliance Bank mengukuhkan sistem keselamatan transaksi digital dengan memperkenalkan Nombor Kad Dinamik bagi Kad Kredit Maya Visa miliknya selari dalam memacu pertumbuhan bank bagi tempoh empat tahun akan datang.
Katanya, menerusi ciri terbaharu itu, pengguna boleh menjana nombor kad kredit 16 digit secara rawak bagi setiap transaksi termasuk melibatkan e-dagang, perkhidmatan penstriman dan langganan, yang meminimumkan risiko penipuan serta kecurian identiti.
“Pelanggan juga diberikan fleksibiliti untuk menentukan Nombor Kad Dinamik yang khusus untuk perkhidmatan langganan tertentu, dengan kemudahan untuk menetapkan had kredit, berapa kali ia boleh digunakan dan tempoh nombor tersebut aktif.
“Nombor Kad Dinamik sekali guna ini menawarkan cara yang lebih selamat dan lebih dilindungi bagi membuat pembelian harian dan meminimumkan risiko penipuan, kecurian identiti dan penipuan kewangan lain yang dihadapi oleh pelanggan.
Tambahan pula, ia turut membawa impak yang positif kepada alam sekitar kerana langkah ini mengurangkan pengeluaran kad kredit plastik dan membantu mengurangkan jejak kad kredit pada saluran dalam talian,” katanya.
Menurut penyedia rangkaian persendirian maya (VPN), Surfshark, Malaysia merekodkan 154 pelanggaran data bagi setiap 100 orang tahun lalu. – UTUSAN










