PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengalu-alukan pelantikan Datuk Ir. Alice Jawan Empaling sebagai Anggota Suruhanjaya baharu untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa dari 28 Mac lalu hingga 27 Mac 2026.
Alice membawa bersama pengetahuan serta pengalaman yang luas dalam sektor awam dengan peranan beliau antara lainnya, sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak dan perkhidmatan beliau di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, Mavcom berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan atas pelantikan tersebut.
“Kami yakin pengalaman Alice yang meluas akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan usaha Mavcom untuk menggalakkan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya saing dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Penyertaan Alice sebagai Anggota Suruhanjaya akan dapat memangkinkan pelbagai pelaksanaan inisiatif Suruhanjaya terutamanya yang berkaitan dengan Malaysia Timur iaitu Perkhidmatan Udara Luar Bandar di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pelantikan itu juga mampu membawa perspektif wanita dalam bidang pengangkutan terutamanya udara.
“Pihak Mavcom yakin beliau dapat memberikan sumbangan dalam menambahkan lagi kepelbagaian dan keterangkuman yang juga akan memberi kesan positif kepada suruhanjaya,” ujarnya. – UTUSAN










