PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pharmaniaga Bhd., Datuk Zulkarnain Md. Eusope meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini, di tengah-tengah kemelut syarikat diklasifikasi Nota Amalan 17 (PN17).
Pharmaniaga berkata, Zulkarnain mengambil keputusan tersebut untuk mengejar kepentingan lain.
“Beliau telah berkhidmat dengan Pharmaniaga sejak September 2020 dan sepanjang tempoh perkhidmatannya, syarikat telah mencapai pertumbuhan perniagaan yang ketara di pasaran swasta Malaysia serta operasi di Indonesia.
“Lembaga Pengarah mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh interim, Lembaga Pengarah telah membentuk Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang dipengerusikan oleh Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Ahmad Shahredzuan Mohd. Shariff, dengan penyertaan pihak Pengurusan seperti Timbalan CEO, Zulkifli Jafar; Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Kewangan, Norai’ni Mohamed Ali.
Menurutnya, Exco akan mengambil alih tanggungjawab dan melaksanakan fungsi CEO.
“Exco memberi jaminan operasi perniagaan Pharmaniaga berjalan seperti biasa dan semua aktiviti operasi perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan (MoH) serta perniagaan bukan konsesi dengan MoH, kementerian lain serta sektor swasta akan kekal utuh dan tidak terganggu.
“Exco juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan Pelan Regularisasi PN17 yang akan diselia oleh Pasukan Petugas Lembaga Pengarah PN17 yang baru ditubuh dan dipengerusikan oleh Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Pharmaniaga, Datuk Lim Thean Shiang,” ujarnya.
Pharmaniaga adalah sayap perniagaan farmaseutikal untuk Kumpulan Boustead Holdings Berhad dan merupakan pemegang saham utama syarikat bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). – UTUSAN










