Untung bersih Bank Islam RM491.67 juta

Untung bersih Bank Islam RM491.67 juta

MOHD. MUAZZAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Bank Islam Malaysia Bhd. susut lapan peratus kepada RM491.67 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berikutan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi iaitu sebanyak 53.2 peratus kepada RM241.51 juta disebabkan Cukai Makmur.

Kumpulan turut merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) berjumlah RM746.9 juta pada 2022, meningkat sebanyak 6.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan, prestasi itu didorong pendapatan bersih lebih tinggi dan peruntukan bersih yang lebih rendah untuk pembiayaan dan pendahuluan terjejas, diimbangi oleh jumlah overhed yang lebih tinggi.

“Pengukuhan ketara dalam pendapatan bersih kumpulan adalah disebabkan oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi yang meningkat sebanyak RM247.2 juta atau 13.5 peratus.

“Namun, ini telah diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah iaitu sebanyak RM126.2 juta susulan pendapatan pelaburan yang lebih rendah dan kerugian bersih yang lebih tinggi daripada urus niaga pertukaran asing dalam keadaan pasaran yang tidak menggalakkan sepanjang tahun,” katanya.

Prestasi keseluruhan kumpulan diterjemahkan kepada pendapatan sebanyak 22.86 sen sesaham dan pulangan bersih ekuiti sebanyak 7.5 peratus.

Kumpulan mencadangkan dividen interim kedua bernilai 3.40 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan yang dicadangkan kepada 13.80 sen sesaham dengan melibatkan nisbah pembayaran sebanyak 60 peratus daripada keuntungan bersih.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, Bank Islam mencatatkan PBZT sebanyak RM187.3 juta, sebahagian besar disumbangkan oleh pengukuhan pendapatan bersih yang didorong oleh pertumbuhan pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, memandangkan ekonomi semakin pulih, Bank Islam akan meneruskan usaha untuk membina kekuatan terasnya.

Ujarnya, antara langkah yang diambil adalah menambah baik aplikasi perbankan mudah alih kami dan membina usaha sama strategik yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.

“Bank Islam berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen melalui pengedaran Perbankan Runcit dan Perbankan Mewah Utama.

“Selain itu, model operasi Perbankan Institusi yang baru ditubuhkan juga mengutamakan pelanggan, pada masa sama menawarkan produk yang memenuhi keperluan mereka,” ujarnya.

Tambahnya, kumpulan turut menyasarkan untuk menggandakan aset alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syariahnya kepada RM4 bilion menjelang akhir 2025 dan terus menyumbang kepada cita-cita Malaysia sifar bersih karbon.

“Melalui usaha ini, kami berhasrat untuk menjadi bank terkemuka bagi agenda rangkuman kewangan dalam memenuhi matlamat syariah yang lebih tinggi dalam ekonomi dan memastikan pengagihan kekayaan yang berkesan dalam masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN