Transaksi hartanah 2022 cecah RM179.07 bilion

Transaksi hartanah 2022 cecah RM179.07 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) mencatatkan jumlah nilai transaksi hartanah Malaysia mencecah RM179.07 bilion pada 2022, nilai tertinggi pernah direkodkan sejak 2001.

Menurut laporan, nilai urus niaga tahun lepas adalah 23.6 peratus tahun ke tahun lebih tinggi daripada RM144.87 bilion yang dicatatkan untuk 2021.

Napic berkata, bagi jumlah urus niaga, pengiraan 2022 juga menyaksikan pertumbuhan dua angka, meningkat 29.5 peratus tahun ke tahun kepada 389,000, daripada 300,497 transaksi pada 2021.

Pengarah Napic, Aina Edayu Ahmad berkata, pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada tahun lepas menyokong pertumbuhan dalam pasaran hartanah.

“Kempen pemilikan rumah juga membantu meningkatkan aktiviti pasaran hartanah,” katanya pada sidang akhbar majlis Laporan Pasaran Hartanah 2022, semalam.

Mengulas mengenai prospek pasaran hartanah pada tahun ini, beliau berkata, perkara tersebut bergantung kepada sentimen pasaran terutama daripada pemaju hartanah dan isi rumah.

Aina Edayu berpendapat, Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa sebanyak 2.75 peratus kekal akomodatif untuk pembeli hartanah dari segi pembiayaan kerana kadar itu masih di bawah paras sebelum pandemik pada 3.0 peratus.

Sementara itu, Napic berkata, prestasi pasaran hartanah dijang­ka berkembang sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi sederhana rendah bagi 2023, memandangkan persekitaran luaran yang tidak menentu.

“Walaupun begitu, dasar akomodatif, sokongan berterusan kerajaan dan pelaksanaan semua langkah yang dirancang yang digariskan dalam Bajet 2023 yang disemak, dan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang betul di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dijangka kekal menyokong sektor hartanah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN