Top Glove optimis terhadap industri

Top Glove optimis terhadap industri

TOP Glove telah melaksanakan pemberhentian semenatra operasi di 17 buah kilangnya dalam usaha meredakan kapasiti pengeluaran sarung tangan susulan permintaan yang rendah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Top Glove Corp. Berhad melihat prospek industri kekal ‘menjanjikan’ walaupun situasi lebihan bekalan berterusan yang telah menjejaskan pendapatan pengeluar sarung tangan itu.

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, landskap perniagaan yang mencabar dan berdaya saing dijangka kekal sepanjang tahun 2023.

“Walau bagaimanapun, Kumpulan terus mengamalkan pandangan jangka panjang tentang prospek industri, yang masih kekal positif.

“Kami tidak berada di bawah ilusi dan kekal sedar bahawa pasaran akan terus mengimba­ngi dalam tempoh terdekat.

Namun begitu, kami percaya bahawa pemulihan industri sarung tangan akan berlaku kelak kerana asasnya masih kekal kukuh dan tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.

Top Glove telah mencatatkan kerugian bersih RM164.67 juta Suku Kedua berakhir 28 Februari 2023, mewakili kerugian 2.06 sen sesaham.

Hasil bagi suku tersebut, adalah RM618.01 juta, kurang daripada separuh hasil RM1.48 bi­lion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Prestasi terkini menjadikan kerugian bersih pada separuh pertama tahun kewangan 2023 Top Glove kepada RM332.9 juta pada hasil RM1.25 bilion, berbanding keuntungan bersih RM273.27 juta dan hasil RM3.09 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2022.

Prestasi kewangan kumpulan terus terjejas oleh angin sakal yang membebankan industri sarung tangan.

Aktiviti menyahstok berte­rusan, didorong inventori pe­langgan yang berlebihan, menyebabkan pesanan yang lebih rendah.

Menurut Kumpulan itu, faktor lain yang memburukkan lagi keadaan ialah situasi lebihan bekalan sarung tangan yang berterusan, digabungkan de­ngan kekurangan pendesakan bagi pelanggan untuk membuat pesanan, memandangkan masa penghantaran yang lebih singkat timbul daripada penggunaan pengeluaran yang lebih rendah.

Tambahan pula, peningkatan kos pengeluaran yang tidak dapat dikongsikan dengan pe­langgan disebabkan oleh harga jualan (ASP) yang masih dinomalisasikan juga menyumbang kepada keputusan kewangan yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, Cheong Guan berkata, keputusan kewangan yang disampaikan tidak akan mewakili potensi sebenar syarikat mahupun industri tersebut.

“Ini hanya merupakan fasa sementara yang perlu kami harungi selepas peningkatan mendadak permintaan sarung tangan yang didorong pandemic selama 2 tahun.

“Untuk mengurangkan kesan angin sakal yang dihadapi, kami terus melaksanakan inisiatif peningkatan kecekapan dan mengambil langkah penjimatan yang bertujuan untuk memacu pemulihan dan meningkatkan keuntungan kami, sementara meningkatkan ASP untuk mengimbangi peningkatan kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN