TNB, Kumpulan Sunway meterai MoU pacu agenda ESG - Utusan Malaysia

TNB, Kumpulan Sunway meterai MoU pacu agenda ESG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Sunway (Sunway) untuk memacu bersama agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

TNB dalam satu kenyataan berkata MoU yang ditandatangani pada 17 Mac lalu bertujuan mewujudkan nilai perniagaan yang mampan disamping meneroka peluang kerjasama dalam mempromosikan penyelesaian peralihan tenaga, mempercepatkan bisnes tenaga bersih serta membangunkan keupayaan ESG.

Menurut TNB, kedua-dua syarikat berkenaan akan bekerjasama membangunkan inisiatif bersama serta meneroka peluang baharu dalam skop penyelesaian peralihan tenaga, perniagaan tenaga bersih dan keupayaan ESG.

“Di bawah tiga skop ini, bidang potensi kerjasama meliputi antara lain pembangunan pusat data, penggunaan solar fotovoltaik serta penyejukan daerah dan infrastruktur kenderaan elektrik dalam hartanah Sunway.

“Pengeluaran TBB, penyelesaian digital berkaitan tenaga, pengupayaan tenaga kerja serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akademik juga termasuk di bawah perjanjian ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pihaknya amat berbesar hati bekerjasama dengan Kumpulan Sunway dalam memacu amalan perniagaan yang mampan dan mempercepatkan peralihan tenaga. 

“Ini adalah langkah penting bagi kami dalam usaha mempromosikan penyelesaian tenaga mampan di negara ini ke arah mencapai matlamat ESG kami.

“Kami bersama-sama boleh mencipta masa depan lebih mampan untuk masyarakat dan membantu mengurangkan jejak karbon demi mewujudkan masa depan lebih baik untuk semua,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah turur menzahirkan rasa gembira dapat bekerjasama dengan TNB selaku peneraju dalam sektor tenaga dalam meluaskan agenda pembangunan mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan syarikat.

Menurut beliau, perkongsian itu mengukuhkan komitmen bersama Kumpulan Sunway ke arah peralihan tenaga bersih dan ekonomi neutral karbon. 

“Selepas memperkenalkan rangka kerja penetapan karbon untuk merangsang usaha penyahkarbonan dalam Kumpulan tahun lalu, kami berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Ia melalui langkah seterusnya dengan pelancaran program pajakan hijau untuk menangani pelepasan Skop 3 pada tahun ini dan kami amat percaya bahawa kemampanan dan keuntungan boleh berjalan seiring,” katanya.

Kerjasama yang berjaya dalam mana-mana skop akan membolehkan kedua-dua syarikat mewujudkan nilai perniagaan yang mampan, sambil pada masa sama membantu mereka memenuhi komitmen ESG masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya