TNB bantu SENG HIN capai matlamat ESG

TNB bantu SENG HIN capai matlamat ESG

TNB melalui GSPARX dan Seng Hin memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) terus mendapat sokongan daripada industri perladangan dalam menggiatkan peralihan tenaga dengan terkini daripada Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. (SENG HIN).

Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), GSPARX akan memasang sistem solar fotovoltaik atas bumbung di tapak kilang SENG HIN di Kuala Krai, Kelantan dengan kapasiti berjumlah 1.3 MWp.

Pemasangan itu yang dijadualkan siap pada Ogos 2023, akan membantu syarikat perladangan berkenaan mendapat penjimatan bil elektrik sebanyak RM18.78 juta dalam tempoh 21 tahun.
Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman berkata, inisiatif teknologi hijau itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat sejajar komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Perjanjian ini juga merangkumi solusi tenaga pintar lain seperti Green Electricity Tariff (GET); solusi dari segi kecekapan tenaga dan sistem pemantauan tenaga (EMS) yang dapat me­ngurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kamal, usaha itu sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 kerana inisiatif tersebut mampu mengurangkan 1,124 tan metrik karbon dioksida setiap tahun bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 20,624 pokok sepanjang tempoh 10 tahun.

Perjanjian tersebut dimeterai di Kota Bharu bulan lalu. Ia ditandatangani oleh Ketua Retail Negeri (Kelantan) Bahagian Retail TNB, Ir. Khabir Sufi Berhanuddin; Ketua Perolehan GSPARX, Ahmad Tarmizi Mohd; Pengarah Urusan SENG HIN, Kor Hock Tart; dan disaksikan oleh Ahli Lembaga GSPARX dan Ketua Solusi, Bahagian Retail TNB, Mohamed Azrin Mohamed Ali dan Pe­ngurus Besar SENG HIN, Lee Seng Pin.

Sementara itu, Kor Hock Tart berkata, SARE adalah perjanjian antara TNB dan GSPARX sebagai pelabur PV Solar Berdaftar (RPVI) dan SENG HIN sebagai pelanggan yang membolehkan SENG HIN mempraktikkan amalan hijau dan menyokong agenda kerajaan menuju negara neutral karbon menjelang 2050.

Sehingga kini, GSPARX telah memperoleh 357 projek dengan organisasi komersial, perindustrian & kerajaan, menjana sejumlah 249 MWp kapasiti solar.

Antaranya Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), S P Setia, Sime Darby Properties, Jabatan Kerja Raya (JKR), SIRIM, FELDA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Ipoh, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Universiti TATI (TATIUC) dan Perak Transit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN