PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rentetan itu, Tesla bakal menubuhkan Ibu Pejabat, Pusat Pengalaman, Pusat Servis dan rangkaian Superchargernya sebagai permulaan pelaburan mereka di negara ini.
Menurut Tengku Zafrul kehadiran pengeluar kereta elektrik Tesla di negara ini bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi buat rakyat Malaysia.
“Selamat Datang TESLA! MITI telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport BEV ke Malaysia.
“Pelaburan yang dimudah cara oleh MITI menerusi inisiatif BEV Global Leaders ini pastinya akan mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi buat rakyat Malaysia dan membuka peluang perniagaan buat pemain industri tempatan,” katanya dalam ciapan di Twitter miliknya.
Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, kehadiran Tesla mencerminkan keyakinan syarikat tersebut terhadap kemampuan ekosistem industri kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Tambahnya ia juga mencerminkan tahap persekitaran perniagaan yang kondusif bagi segmen EV di negara ini.
“Tesla adalah pemohon pertama bagi inisiatif ‘BEV Global Leaders’ yang diselia oleh MITI untuk meningkatkan permintaan BEV di Malaysia.
“InsyaAllah, MITI akan terus bekerja keras dalam membawa masuk lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi untuk Malaysia,” katanya. – UTUSAN










