TDM rekod pendapatan tertinggi sejak 1995

TDM rekod pendapatan tertinggi sejak 1995

TDM Berhad yang ditubuhkan pada 1965 adalah salah satu sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad, syarikat milik penuh ke­rajaan negeri yang memfokuskan perniagaan segmen perlada­ngan dan kesihatan, merekodkan pendapatan sebanyak RM614.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 lalu.

Jumlah itu adalah tertinggi yang pernah direkodkan oleh syarikat tersebut sejak 1995.

TDM dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 20 peratus daripada RM511.6 juta yang diperoleh pada 2021.

“Bahagian perladangan menyumbang pendapatan sebanyak RM335.4 juta iaitu pe­ningkatan 17 peratus daripada RM287.3 juta pada tahun sebe­lumnya.

“Pendapatan daripada bahagian penjagaan kesihatan pula meningkat sebanyak 24 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM278.7 juta daripada RM224.2 juta pada 2021,” menurut ke­nyataan itu.

Tambah kenyataan itu, walaupun berlaku penurunan pendapatan sebanyak lima peratus bagi suku keempat 2022, ia tidak menjejaskan perolehan pendapatan TDM secara ke­seluruhan.

“Pendapatan untuk suku keempat 2022 ialah sebanyak RM157.7 juta, menurun daripada RM165.6 juta pada suku keempat 2021.

“Bahagian perladangan merekodkan pendapatan seba ­nyak RM78.5 juta yang menyusut sebanyak 24 peratus daripada RM103.7 juta yang diperoleh pada suku keempat tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, kemerosotan itu telah diimbangi dengan pertumbuhan hasil bahagian penjagaan kesihatan seba­nyak 28 peratus yang berjumlah RM79.3 juta berbanding RM61.9 juta sebelumnya,” kata ke­nyataan itu.

TDM yang ditubuhkan pada 1965 adalah sekuriti patuh syariah yang disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia dengan perniagaan teras di sektor perladangan kelapa sawit dan per­khidmatan penjagaan kesihatan.

Bahagian perladangan iaitu TDM Plantation Sdn. Bhd. me­nguruskan 15 ladang kelapa sawit, tiga kilang minyak serta loji biogas terletak di Terengganu dan Indonesia.

Di bawah Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) pula, TDM memiliki lima hospital pakar yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan iaitu di Petaling Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Taman Desa, Kuala Lumpur dan di Tawau, Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN