SVB: Bursa Malaysia turut terjejas

SVB: Bursa Malaysia turut terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia turut menerima impak kejatuhan bank Amerika Syarikat (AS), Silicon Valley Bank (SVB) yang ditutup selepas mengalami krisis kewangan.

Dalam sesi dagangan semalam, Bursa Malaysia jatuh 11.25 mata atau 0.79 peratus untuk ditutup pada 1,421.83 mata, selepas dibuka pada 1,419.42 mata. Kejatuhan itu antara yang tertinggi direkodkan oleh Bursa dalam tempoh lima bulan.

Dalam segi dagangan semalam, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 703 kaunter berbanding 254. Sementara 340 kaunter lagi tidak berubah dan 938 kaunter lagi tidak didagangkan. Sejumlah 3.498 saham bertukar tangan dengan nilai daga­ngan berjumlah RM2.153 bilion.

Sementara itu, krisis yang melemahkan dolar memberi kelebihan kepada mata wang tempatan apabila ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar kepada 4.5155/4.4860 berban­ding 4.5225/4.5200 kelmarin.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kejatuhan Bursa Malaysia ada kaitan dengan krisis SVB kerana ianya melibatkan sentimen dan keyakinan pelabur antarabangsa dan tempatan.

“Namun, saya melihat kesan ini adalah sementara kerana fundamental ekonomi masih kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kesan domino yang akan melibatkan ‘bank run’ itu dijangka menyebabkan Bursa Malaysia bakal didagangkan dalam julat antara 1,435 hingga 1,455 sepanjang minggu ini.

Ahmed Razman turut berpendapat, krisis SVB tersebut tidak akan merebak seperti krisis 2008, kerana ia hanya melibatkan kecairan bank tertentu dan bukan kebanyakan bank.

Beliau pada masa sama mencadangkan agar Malaysia beralih kepada pembiayaan ekuiti daripada pembiayaan hutang untuk mengelak terjerumus ke kancah sedemikian.

“Pembiayaan hutang terkesan dengan perubahan kadar faedah. Itu yang menyebabkan SVB terjejas dengan teruk. Pembiayaan ekuiti tidak akan terjejas dengan pergerakan kadar faedah,” katanya.

Mengenai impak krisis SVB kepada inflasi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) negara, beliau berkata, inflasi mungkin kekal sekitar 3.8 peratus, manakala IPR kemungkinan naik kepada 3 peratus pertengahan tahun ini.

Ditanya sama ada krisis SVB akan menjejaskan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, beliau menjangkakan ia hanya akan melibatkan FDI dari Amerika Syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN